Bekas Setiausaha Politik Ketua Pembangkang didakwa lagi, minta ‘suapan’ RM350k 4 tahun lepas

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin banyak kes rasuah yang dibongkar melibatkan pihak tertentu, terbaru melibatkan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah pada Khamis, dituduh lagi di Mahkamah Sesyen pada hari ini.

Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas satu kes meminta suapan RM350,000 berhubung tender pembekalan alat baiki berjumlah RM381 juta, empat tahun lalu.

Memetik Sinar Harian, bekas setiausaha kepada bekas Menteri Dalam Negeri terbabit itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

“Faham, saya mohon dibicarakan,” kata Sayed Amir Muzzakkir.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa meminta suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan, syarikat Nexuscorp Group, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Perbuatan tersebut berlaku di pejabat syarikat itu, di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, pada jam 4 petang, Disember 2020 lalu.

Suapan itu didakwa sebagai upah membantu syarikat mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kementerian Dalam Negeri bernilai RM381,112,042.44.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan. maka ia membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding berlangsung, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farhana Ismail memohon mahkamah menggunapakai ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali setiap bulan.

“Kami juga memohon untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, peguam, Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir tidak membantah cadangan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Awang Kerisnada membenarkan permohonan berkenaan termasuk penetapan tarikh sebutan semula kes, di Kuala Lumpur pada 12 Julai depan.

Baca juga: Isu tuntutan palsu lebih RM19k, anak MB Perlis mengaku tidak bersalah