Malaysia Dateline

Bekas setiausaha politik Menteri Pertahanan didakwa rasuah

Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu.

Menurut Bernama, Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara September 2019 dan Februari 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat menawarkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang berhubung atau mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh memohon dibenarkan jaminan menimum dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan tujuh anak termasuk dua masih bersekolah serta menanggung ibu mentua.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin selain melaporkan diri sekali sebulan bermula November ini di pejabat SPRM Putrajaya serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh membayar separuh jumlah jaminan hari ini manakala selebihnya dibayar minggu depan sebelum 22 Oktober.

Mahkamah menetapkan 26 Nov ini untuk sebutan semula kes.