Malaysia Dateline

Pandikar Amin Mulia

Bekas Speaker Pandikar bertanding atas tiket Usno di Pintasan

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mengetuai cabaran 44 calon Usno dalam pilihan raya negeri Sabah kali ini.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi yang meninggalkan Umno Disember 2018 selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu akan bertanding di Dewan Undangan Negeri N 08 Pintasan, sebuah kerusi baru dalam politik Sabah.

Nama Pandikar diumumkan sebagai calon Usno malam tadi melalui satu kenyataan media oleh parti yang ditubuhkan oleh Tun Datu Mustapha bin Harun itu telah dihidupkan kembali selepas dibubarkan pada tahun ‎1991.

Selain Pintasan, Usno akan bertanding di N.01 Banggi, N.02 Bengkoka,N.03 Pitas, N.04 Tanjong Kapor, N.06 Bandau, N.07 Tandek, N.09 Tempasuk, N.13 Pantai Dalit, N.16 Karambunai, N.17 Darau, N.18 Inanam, N.19 Likas, N.22 Tanjung Aru, N.23 Petagas, N.24 Tanjung Kerama, N.27 Limbahau.

N.28 Kawang, N.29 Pantai Manis, N.32 Klias, N.33 Kuala Penyu, N.34 Lumadan, N.35 Sindumin, N.37 Karanaan, N.40 Bingkor, N.42 Melalap, N.43 Kemabong, N.44 Tulid, N.49 Labuk, N.51 Sungai Manila, N.53 Sekong, N.54 Karamunting, N.56 Tanjong Papat, N.59 Sukau, N.60 Tungku, N.61 Segama, N.62 Silam, N.63 Kunak, N.65 Senallang, N.66 Bugaya, N.67 Balung, N.70 Kukusan, N.72 Merotai, dan N.73 Sebatik.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, semakin banyak calon untuk sesuatu kawasan akan menguntungkan Warisan Plus kerana ia melambangkan perpecahan dalam pembangkang ketika Warisan bersama rakan-rakannya dilihat selesai dalam pembahagian kerusi masing-masing.

Penamaan calon PRN Sabah akan diadakan esok Sabtu 12 September manakala pengundian akan dibuat pada 26 September.