Bekas tahanan ISA terus komited lawan penahanan tanpa bicara

Bekas tahanan ISA terus komited lawan penahanan tanpa bicara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kumpulan bekas tahanan ISA yang berkumpul di Kota Bharu semalam bertekad untuk terus komited menentang segala bentuk kezaliman khususnya yang dilakukan pihak berkuasa menerusi pelbagai undang-undang yang jelas bercanggah dengan konsep keadilan sejagat.

Pengarah program “Tribute to ISA detainees”, Che Kamaruzaman Che Ismail berkata semua yang menyampaikan ucapan di majlis itu menzahirkan komitmen masing-masing untuk terus menentang penahan tanpa pembelaan yang menyebabkan berlaku penindasan yang amat luarbiasa.

“Kita berjaya menghimpunkan 24 bekas tahanan ISA dan beberapa waris tahanan untuk memberikan gambaran kepada masyarakat pengalaman pahit yang mereka lalui akibat perlaksanaan undang-undang yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.

Beberapa tokoh yang bukan bekas tahanan turut dijemput kerana menurut Che Kamaruzaman, perjuangan menentang kezaliman adalah tanggung jawab seluruh lapisan masyarakat.

“Kita amat berpuashati kerana kehadiran tokoh-tokoh pejuang rakyat seperti Datuk Husam Musa dan Dr. Mariah Mahmud turut bersama melahirkan solidariti kepada mereka yang dizalimi semata-mata berjuang untuk membela orang ramai yang sentiasa menjadi mangsa kezaliman pemerintah,” katanya.

Lim Kit Siang bertanya sesuatu kepada Dr Mohd Nasir.Pihak penganjur katanya amat berpuashati dengan kehadiran bekas-bekas tahanan dan keluarga mereka yang sanggup berkongsi pengalaman masing-masing bagi memberi kesedaran kepada rakyat dan pemerintah sendiri supaya bentuk penindasan seperti ini tidak berulang pada masa depan.

“Kita amat bimbang walaupun ISA telah dihapuskan kezaliman serupa boleh berlaku dengan pengenalan beberapa akta baru seperta Pota, Sosma dan Akta MKN yang baru diperkenalkan,” katanya lagi.

Antara pemimpin politik bekas tahanan ISA yang berucap pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Presiden Amanah Mohd Sabu dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

“Mereka inilah sebenarnya amat berjasa kepada rakyat dan negara kerana tanpa kesanggupan mereka berkorban banyak perubahan yang berlaku khususnya berkaitan ISA tidak akan menjadi kenyataan,” ujarnya.

Kamarruzaman juga merakamkan penghargaan kepada penasihat program, Pengerusi Amanah Kelantan, Dato’ Wan Abdul Rahim Abdullah, badan penganjur bersama dan seluruh yang membantu menjayakan program tersebut.

Antara orang ramai yang hadir mendengar pengalaman para tahanan ISA di Kota Bharu.

TAGS