Malaysia Dateline

Bekas timbalan menteri cadang 2 VVIP pohon kajian semula kes mereka

Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak dicadangkan supaya membuat kajian semula kes mereka di Mahkamah Tinggi ekoran kenyataan Menteri Kanan seolah-olah Peguam Negara tersalah membuat tuduhan ke atas mereka.

Bekas Timbalan Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maiden, berkata kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagaimana dilaporkan media semacam kedua-dua mereka disalah tuduh oleh Peguam Negara.

MOHAMED HANIPA MAIDEN

“Saya cadang kedua-dua VVIP ini untuk membuat permohonan revision di Mahkamah Tinggi bagi review hukuman ke atas mereka sebab based kepada kenyataan Menteri Kanan ni, macam AG tersalah tuduh lah,” kata Hanipa kepada Malaysia Dateline.

Media Pas, Harakahdaily melaporkan, kerajaan bersikap adil kepada semua pihak dengan tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang, siapa yang langgar akan diambil tindakan tanpa mengira sebarang kedudukan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak pernah membezakan kedudukan dalam menjatuhkan hukuman terhadap pihak yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun katanya, terdapat perbezaan undang-undang yang dikenakan terhadap Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan EXCO Perak, Razman Zakaria yang hanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam PKP.

“Ada yang mempersoalkan kenapa berbeza? Sebab undang-undangnya berbeza, tuduhan juga berbeza. Dua VIP itu hanya melanggar SOP di bawah peraturan, bukan melanggar perintah PKP.

“Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa wakil rakyat dibenarkan bertugas sewaktu PKP untuk menjaga kepentingan rakyat di bawah.

“Oleh itu mereka mesti dibebaskan untuk bergerak memberikan membantu dan kebajikan kepada rakyat, jadi mereka dibenarkan,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.