Bekas timbalan menteri meminta Peguam Negara baru jangan langkaui batas

Ambillah isyarat Istana dan rakyat agar tidak sesekali melangkaui segala garis panduan, kata Ashraf kepada Tommy.

Mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberikan ingatan kepada Peguam Negara yang baru, Tommy Thomas agar tidak sesekali melangkaui batas dan garis panduan.

Bagi beliau, Istana telah memberikan persetujuan kepada perlantikan kepada Peguam Negara itu secara tertekan.

“Ambillah isyarat Istana dan rakyat agar tidak sesekali melangkaui segala garis panduan dan memperjudikan ketaatan kepada Raja, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Negara, demi kestabilan dan kemakmuran berterusan,” tulis Ashraf dalam facebook beliau.

Bagi Ashraf, institusi Raja merupakan institusi yang menjadi benteng terakhir bagi rakyat mempertahankan kedaulatan Islam di negara ini.

Ashraf mendakwa, Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam keadaan yang tersepit ketika memutuskan perlantikan Tommy bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali itu.

“Daripada nada perutusan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-XV (YDPA) sudah cukup menggambarkan betapa beratnya Tuanku untuk membuat keputusan tersebut.

“Sekaligus meletakkan Baginda dalam dilema yang cukup besar di antara mempertahankan kedaulatan Islam yang merupakan tunjang kekuasaan Raja-Raja Melayu dengan keterpaksaan untuk akur pada keputusan majoriti rakyat yang telah memilih Kerajaan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum yang lalu,” tulisnya.

Beliau turut mengucapkan selamat bertugas kepada Tommy Thomas selaku Peguam Negara yang baru.

CATEGORIES
TAGS