Bekas Timbalan Perdana Menteri Kyrgyzstan ditahan sembunyikan harta

Bekas Timbalan Perdana Menteri Kyrgyzstan ditahan sembunyikan harta

Bekas Timbalan Perdana Menteri Kyrgyzstan, Duishenbek Zilaliyev ditahan atas kesalahan menyembunyikan harta, lapor Xinhua.

Menurut Jawatankuasa Keselamatan Negara, beliau ditangkap pada 7 Disember kerana tidak membuat pengisytiharan sebahagian daripada hartanya,

Beliau memegang pelbagai jawatan kanan dari 2011 hingga 2017, termasuk menjadi pengerusi Dana Pengurusan Harta Negara dan pengarah Agensi Geologi dan Sumber Mineral Kyrgyzstan.

Sepanjang tempoh itu Zilaliyev mengisytiharkan dia dan isterinya memperoleh kira-kira US$42,000 (1US $ = RM4.17).

Bagaimanapun siasatan kerajaan mendedahkan ketika dalam perkhidmatan awam beliau menyembunyikan US$889,900, yang disimpan di cawangan sebuah bank komersial sehingga September tahun ini.

Beliau juga mendaftarkan hartanya termasuk pangsapuri dan rumah atas nama saudara mara dan beberapa individu lain.

Zilaliyev turut didakwa mengeluarkan beberapa lesen kepada saudara-maranya untuk aktiviti perlombongan emas dan batu kapur.

— BERNAMA