Bekas wakil rakyat Umno di Sabah korban Covid-19

Oleh ARIF ATAN

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang menjadi korban jangkitan Covid-19 awal pagi ini.

Allahyarham yang berusia 71 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.45 pagi tadi.

Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Putatan.

Allahyarham dilaporkan menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu sejak awal bulan ini.

Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah itu menjadi ADUN Kunak selama dua penggal bermula pada 2008 hingga 2018.

Nilwan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan sekali lagi mempertahankan kerusi pada PRU berikutnya.

Bagaimanapun, Allahyarham tewas di tangan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Norazlinah Arif pada PRU 2018 dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 pada September tahun lalu.

Beliau turut pernah menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman selepas memenangi PRU 2013.