Malaysia Dateline

Bekas wartawan mengaku tak bersalah buat kenyataan berkait koronavirus

Seorang bekas wartawan mengaku tidak bersalah atas 3 pertuduhan membuat kenyataan berhubung wabak koronavirus yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Memetik laporan FMT hari ini, Wan Noor Hayati Wan Alias, 40, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana melakukan kesalahan menerusi akaun Facebooknya “Ibu Yati” pada 26 Jan lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mewakili pihak pendakwaan, manakala Hayati tidak diwakili peguam.

 Majistret Tawfiq Affandy Chin menetapkan ikat jamin RM4,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat pengguna akaun Facebook bernama “Ibu Yati” yang mendakwa 1,000 warga China tiba di Pulau Pinang dan jika darurat hanya akan dilaksanakan selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijangkiti virus koronavirus.