Malaysia Dateline

Bekas wartawan Utusan tubuh portal media

Datuk Zaini Hassan

Sekumpulan bekas wartawan akhbar Utusan Melayu yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) baru-baru ini telah bergabung menubuhkan sebuah portal berita bebasnews.my.

Bekas Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan dan juga salah seorang pengasas portal itu, Datuk Zaini Hassan berkata ilham penubuhan portal itu muncul setelah beliau menerima beberapa cadangan bagi mengoptimumkan bakat sedia ada bekas wartawan Utusan yang mungkin tidak lagi digunakan selepas VSS.

Menurutnya, kebanyakan wartawan Utusan terbabit sudah lama berkhidmat dengan akhbar itu dan sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kewartawanan.

Zaini berkata buat masa ini, portal yang dilancarkan pada Sabtu lalu itu mempunyai seramai 22 orang penyumbang yang memberi fokus dalam penulisan analisis.

“Sebagai permulaan, portal ini akan bergerak secara virtual atau alam maya dan penyumbang akan menulis ulasan berdasarkan berita yang sudah dilaporkan di media utama,” katanya seperti dipetik Bernama semalam.

“Melalui cara ini kita tidak perlu keluar dan membuat laporan yang sama seperti media lain. Mereka (penyumbang) bebas melakukan kerja di mana-mana sahaja, secara virtual atau alam maya,” katanya.

Selain penulisan analisis, bebasnews.my juga menyiarkan berita nasional yang lain seperti berita politik, ekonomi dan luar negara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Sementara itu, Zaini berkata portal itu bergerak secara bebas tanpa sebarang pembiayaan oleh mana-mana pihak tertentu dan tidak terikat pada mana-mana parti politik.

Malah menurutnya, setiap penulisan yang dihantar kepada portal itu dibuat secara sukarela tanpa sebarang pembayaran kepada penyumbang.

“Kita lakukan ini secara sukarela, semua (wartawan) yang keluar melalui VSS memang ada menerima bayaran bulanan, cuma kita buka peluang untuk mereka menyumbangkan penulisan mereka, kos kita memang rendah dan paling minimum.

“Alhamdulilah, walaupun baru beroperasi Sabtu lepas, kita mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.