Malaysia Dateline

Bekerja dari rumah: Korbankan masa peribadi, ramai pekerja pilih untuk bersabar

Ramai pekerja mengadu mereka terpaksa mengorbankan masa peribadi ketika majikan terlalu mendesak sepanjang tempoh bekerja dari rumah (BDR).

Sisi negatif daripada BDR itu didedahkan seorang perunding sumber manusia serantau, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GKK Consultants Sdn Bhd, Gajendra Balasingham dalam kenyataan hari ini.

Dedahnya, rasa tidak puas hati pekerja juga semakin meningkat selain penyalahgunaan maya dan keseimbangan kerja-kehidupan yang mula terjejas.

Antara aduan yang diterima termasuklah menyelesaikan konflik majikan-pekerja pada mesyuarat kumpulan dan keengganan pekerja untuk menyuarakan kebimbangan akan kehilangan pekerjaan mereka.

“Ramai pekerja yang memilih untuk bersabar dengan sikap majikan yang mendesak dan tidak sensitif dan ketika negara masih lagi meneruskan sekatan pergerakan penuh bagi membendung pandemik Covid-19, ramai orang yang mula mempersoalkan sejauh mana produktifnya BDR,” jelasnya.

Gajendra Balasingham

Gajendra bagaimanapun menasihatkan pekerja agar bersabar dengan situasi sekarang hingga keadaan kembali normal dan mereka dapat membuat pilihan yang lebih baik.

Namun, katanya, tidak dinafikan banyak sisi positif yang diperoleh pihak majikan dan pekerja daripada norma baharu kerja itu terutama dari segi penjimatan bagi kedua-dua pihak.

Jelasnya, majikan boleh menjimatkan sewa pejabat, bil utiliti dan perbelanjaan perjalanan dan keraian manakala pekerja boleh berjimat kos pengangkutan, masa yang dihabiskan dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja serta bagi sebahagian malahan berjimat perbelanjaan penjagaan anak kerana mereka berada di rumah sepanjang masa.

Sehubungan itu, beliau menyarankan mesyuarat maya dihadkan dalam tempoh masa yang kondusif, sebaiknya tidak lebih 30 minit.

Kedua-dua pihak katanya, harus mempunyai pengurusan masa yang teratur, majikan perlu menghormati ruang privasi antara satu sama lain dan menentukan batas-batas antara masa kerja dan mengelak daripada mengganggu kehidupan peribadi pekerja.

Dalam masa sama, kata Gajendra, pekerja pula perlu berdisiplin mematuhi masa kerja dan bekerja bersungguh-sungguh menyelesaikan tugasan mereka.