Malaysia Dateline

Bela nasib rakyat Palestin, pelakon drama Wednesday dianggap rasis dan anti-semitik.

Pelakon drama bersiri popular Netflix, Wednesday, Jenny Ortega menjadi perbualan hangat di luar negara apabila ciapannya tahun lalu yang menuntut pembelaan rakyat Palestin kembali tular di media sosial.

Siapa sangka, aktor kelahiran Amerika Syarikat ini begitu prihatin dengan penderitaan masyarakat Muslim yang ditindas tanpa belas kasihan.

Menurut ciapannya itu, masyarakat seharusnya tidak bersikap lepas tangan dan berusaha membela nasib mereka yang dianiaya terutamanya rakyat Ukraine, Yaman, Palestin, Kashmir, Iraq, dan Syria.

Jenny turut mengalu-alukan pengikutnya untuk berkongsi sebarang maklumat serta pautan laman sesawang yang dapat membantu meringankan beban mereka.

“Kita tidak boleh berputus asa dengan rakyat Ukraine, Yaman, Palestin, Kashmir, Iraq, dan Syria. Malangnya senarai itu masih berterusan (panjang).

“Bagi sesiapa yang sudi dan ingin menyumbang apa-apa cara yang mereka boleh, saya ingin membentuk bebenang (thread) dengan maklumat. Adakah sesiapa mempunyai sumber atau pautan yang boleh mereka tambahkan (komen)?

Media luar khususnya The Times of Israel menuduh kenyataan Jenny ini bersifat anti-semitik serta mengujar kebencian terhadap masyarakat Yahudi terutamanya mereka yang tinggal di Israel.

The Times of Israel turut menyamakan ciapan Jenny ini dengan perilaku penyanyi Kanye West yang mengagumi sosok pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler.

Umum mengetahui, Israel sering menggunakan alasan anti-semitik dan rasis sekiranya ada pihak yang mempersoalkan kekejamannya terhadap Palestin.

Namun begitu, rata-rata pembaca berita di luar negara tidak bersetuju dengan tindakan The Times Israel membandingkan pelakon yang berusia 20 tahun itu dengan Kanye West.

Tambah pembaca, selebriti seharusnya mengikut jejak langkah Jenny yang bersikap tegas dan tidak memadam hantaran mereka setelah mendapat kecaman.

“Israel suka mentafsir perkataan mengikut kepala mereka sendiri. Menyokong rakyat Palestin bukan antisemitik. Membandingkan apa yang diciap Jenny dengan apa yang dikatakan oleh Kanye adalah tidak bertanggungjawab,” kongsi pembaca asal Amerika Syarikat yang bergelar Mandythegrim.

“Anda berkata apa-apa terhadap Israel dan mereka akan menyerang anda kembali. Lebih ramai selebriti harus mencontohinya dan tidak memadamkan ciapan mereka hanya kerana seseorang tidak menyukainya,” kongsi pengguna lain.

Anti-semitik bermaksud seseorang yang berpendirian dan tidak bersetuju dengan fahaman dan cara hidup penganut agama dan bangsa Yahudi.

Baca juga: “Puas hati tengok!”- netizen puas tengok kereta gagal lepasi palang ketika cuba elak bayar tol