Jangan pernah memandang rendah usaha ibu bapa dalam mencari rezeki yang halal demi menanggung anak.
Tambahan pula zaman sekarang agak sukar mencari pekerjaan dan harga barang juga semakin tinggi.
Tapi ia tidak mematahkan semangat ibu tunggal yang giat mengusahakan produk kraf tudung saji plastik bagi menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.
Menurut Kosmo, Ku Ariziana Tuan Nor kehilangan suami tercinta pada September 2022 dan kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Walaupun pendapatan yang diperoleh tidak seberapa, namun ia adalah punca rezeki mereka empat beranak untuk teruskan hidup.
Belajar melalui Youtube
“Sebelum ini, kami tinggal di Kuala Lumpur. Disebabkan masalah kesihatan suami, arwah berhenti kerja dan kami pulang ke kampung.
“Ketika itu, saya belajar membuat kraf tangan menerusi YouTube,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Tambahnya, produk dihasilkan dijual pada harga RM30 sehingga RM90 bergantung kepada saiz dan corak mengikut permintaan.
Tudung saji itu juga bukan sekadar digunakan untuk menutup makanan di atas meja, tetapi boleh dijadikan hiasan menghiasi dinding rumah.
“Biasanya tempahan diterima secara dalam talian, namun ada juga pelanggan yang datang terus di rumah,” katanya.
Kalau dilihat tudung saji yang dibuatnya bukanlah biasa-biasa malah bercorak dan pastinya mengambil masa untuk dibuat satu persatu.
Baca juga: Wanita kecewa beli cromboloni dapat roti bom, sakit hati baca alasan peniaga