Malaysia Dateline

Belajar kawal nafsu fitnah yang meretak keharmonian masyarakat

Apa rasanya memfitnah dan menyebabkan hidup yang teraniaya berantakan, di samping mengkucar-kacirkan keharmonian masyarakat majmuk di tanah air ini?

Apa yang seseorang dapat daripada itu?

Pada 20 September 2021, bekas Ketua Polis Negara Mohammed Hanif Omar membuat satu permohonan maaf terbuka kepada veteran DAP, Lim Kit Siang bagi menyelesaikan saman fitnah yang dikenakan terhadapnya berikutan satu kenyataan jahat dibuatnya melalui portal akhbar Sinar Harian pada 2018.

Ini bukan satu-satunya kes fitnah yang terbukti fitnah terhadap wakil rakyat DAP, kerana sebelum ini telah banyak permohonan maaf terbuka dibuat apabila saman fitnah dikeluarkan oleh yang teraniaya.

Kenyataan fitnah Hanif Omar yang terbit di akhbar Sinar Harian pada Septermber 2018 amat merbahaya kerana katanya, DAP minta Malaya dibahagikan kepada dua bahagian pada tahun 1969; Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada kaum Cina.

Selepas kenyataan fitnah itu dikeluarkan dan mendapat reaksi hangat pelbagai pihak, Kit Siang memberinya tempoh 48 jam untuk membuktikan lokasi dan tarikh kononnya Ahli Parlimen Iskandar Puteri membuat ucapan jahat tersebut.

Pada 19 Oktober 2018, satu tuntutan saman fitnah dikeluarkan Kit Siang berhubung kenyataan Hanif Omar yang mengaitkan penahanan Lim dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Kesannya amat besar bukan sahaja kepada Lim Kit Siang sekeluarga yang dikecam hebat, tetapi kepada keharmonian masyarakat Malaysia.

Lebih-lebih lagi 2018 memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) berjaya menjadi kerajaan Persekutuan, dan ketika itulah pelbagai fitnah jahat, isu perkauman sengaja diapi-apikan untuk memecahbelahkan masyarakat.

Melihat ke belakang ketika PH tumbang pada Mac 2020, pasti ada saham fitnah-fitnah serta isu perkauman yang sengaja diperbesarkan sebelum ini.

Apatah lagi, sesudah Langkah Sheraton dan dua kerajaan baharu mentadbir negara, isu-isu perkauman yang dahulunya panas berapi, kini menjadi arang sejuk, seolah-olah semua isu hangat itu telah selesai, sedangkan kita tahu tidak.

“Saya mengesahkan bahawa penahanan plaintif pada tahun 1969 bukan atas sebab bahawa beliau meminta Malaysia dibahagikan atas dasar perkauman dan seterusnya saya juga mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mencadangkan sedemikian,” kata Hanif dalam permohonan maaf tersebut.

Permohonan maaf sememangnya senang dibuat setelah apa yang diimpikan menemui hasil.

Namun, kesannya kepada tahap kepercayaan rakyat terhadap wakil-wakil rakyat yang teraniaya dan keretakan hubungan masyarakat berbilang kaum negara ini, siapakah yang mahu bertanggungjawab?