Belanjawan 2019: Adun Perling sambut baik tol percuma di Link Kedua

Belanjawan 2019: Adun Perling sambut baik tol percuma di Link Kedua

Pengumuman ketika Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menghapuskan tol motorsikal di Link Kedua dilihat suatu langkah yang bernas.

Cheo Yee How

Hal ini dinyatakan oleh Adun Perling, yang mengalu-alukan pengumuman tersebut bagi mengurangkan bebanan pekerja dari Johor ke Singapura setiap hari.

“Selama ini terdapat keluhan dari pengguna motorsikal yang ulang alik dari Johor ke Singapura di Link Kedua dan ia didengari oleh pihak kerajaan.

“Saya berpandangan ini bakal membuatkan keresahan pengguna motorsikal menjadi reda dengan pengumuman tersebut,” ujarnya.

Selain itu, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa ramai rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura akan bertukar dari kenderaan empat roda kepada motorsikal.

Hal itu akan menambahkan kesesakan bagi pengguna motorsikal kerana penambahan tersebut akan berlaku sekiranya langkah penukaran kenderaan itu berlaku.

Menurut Cheo lagi, beliau telah menjangka perkara itu bakal berlaku kerana sepanjang pemantauanya memang terdapat langkah pengurangan kos oleh mereka yang berkerja di Singapura itu terjadi.

Jelasnya lagi, tinjauan perlu dilakukan sebelum mengambil sebarang langkah sekiranya penambahan mendadak dari penunggang motorsikal itu berlaku.

“Tinjauan perlu dilakukan bermula 1 Januari nanti bagi mengenal pasti apakah masalah yang akan berlaku sekiranya penambahan motorsikal berlaku di Link Kedua.

“Pihak kerajaan juga perlu bersedia untuk menghadapi perkara ini sama ada kaunter motorsikal perlu diperbanyakkan atau sebagainya.

“Sebelum ini pihak kami mendapati terdapat kesesakan yang berlaku di lorong motorsikal kerana penguatkuasaan ‘M Bike’ yang dilihat masih belum berfungsi dengan baik,” ujarnya lagi.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyatakan terdapat ramai lagi penunggang motorsikal yang masih menggunakan sistem manual berbanding ‘M Bike’ yang sebelum ini diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

“Selain itu, dalam belanjawan yang lepas terdapat pengumuman dari pihak kerajaan untuk menaik taraf sistem pagar automatik dan ‘M Bike’. Ini suatu perkara yang baik.

“Saya juga berharap dengan peruntukkan yang diumumkan oleh pihak kerajaan itu dapatlah melancarkan pergerakkan motorsikal dan kenderaan lain di kawasan Link Kedua berkenaan,” jelasnya lagi ketika ditemui.

COMMENTS