Belanjawan 2019 disambut baik Bank Dunia

Belanjawan 2019 disambut baik Bank Dunia

Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Jumaat lalu mendapat sambutan baik Bank Dunia yang menurutnya, keterangkuman belanjawan tersebut disusun selaras dengan hala tuju dasar kerajaan baharu.

Menurut laporan Bernama, Pengurus Negara Bank Dunia Malaysia, Dr Firas Raad berkata, belanjawan kali ini banyak memperlihatkan aspek berbeza terutama dalam jangka masa sederhana.

Kata beliau, pihaknya kagum dengan komitmen kepada pendidikan dan ini adalah sangat penting selepas melihat di mana negara ini berada.

“Dengan hasrat untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi, ia perlu melabur dengan cara di mana golongan kanak-kanak dapat belajar dengan lebih baik terutama dalam matematik dan sains,” katanya menurut laporan itu lagi.

Ujar Dr Firas, golongan kanak-kanak perlu mempunyai kemahiran tertentu untuk memastikan bahawa modal insan Malaysia akan berada dalam kedudukan yang benar-benar mampu mendorong negara ke arah tahap pendapatan yang lebih tinggi dan bersaing dengan jirannya.

Mengulas mengenai cukai pula, beliau menjangkakan beberapa langkah-langkah percukaian seperti cukai tembakau, minuman keras dan cukai gula yang baharu akan membawa kepada perkembangan yang lebih positif.

COMMENTS