Belanjawan 2019 P. Pinang tambah peruntukan tegakkan syiar Islam

Belanjawan 2019 P. Pinang tambah peruntukan tegakkan syiar Islam

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP akan memperuntukkan sejumlah RM56.8 juta pada tahun hadapan bagi mengukuhkan serta memartabatkan institusi Islam.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam pembentangan Belanjawan 2019 bagi negeri Pulau Pinang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

“Kerajaan Negeri akan terus berperanan untuk memartabatkan institusi Islam melalui pembangunan dan program yang dapat melahirkan modal insan yang cemerlang.

“Antara pembangunan yang telah dilaksanakan adalah dalam aspek kemudahan prasarana masjid dan surau,” katanya.

Pada tahun ini, katanya, terdapat beberapa projek pembinaan masjid baharu telah dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan iaitu Masjid Seri Serdang, Masjid Penaga dan Masjid Kubang Ulu.

“Ketiga-tiga masjid ini telahpun siap dibina sepenuhnya. Malahan terdapat dua lagi masjid baharu yang sedang dalam peringkat pembinaan iaitu Masjid Kampung Rawa dan Masjid Kampung Bonggol,” ujarnya.

Tambah Chow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, kerajaan negeri juga prihatin terhadap pembangunan sekolah agama rakyat di negeri itu.

“Ini dibuktikan melalui projek pembinaan baharu Sekolah Agama Rakyat di Masjid Seberang Perai Selatan dan Sekolah Agama Rakyat di Masjid Abdullah Fahim yang dijadualkan siap pada akhir tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga komited dalam memperkasakan urus tadbir hal ehwal agama Islam khususnya dalam bidang perundangan dan pendakwaan Syariah.

“Kerajaan Negeri telah memulakan penambahbaikan melalui inisiatif untuk mengasingkan Bahagian Pendakwaan, JHEAIPP menjadi satu jabatan yang berasingan bagi memperkemaskan lagi kedudukan institusi perundangan syariah untuk masyarakat Islam negeri ini.

“Adalah diharapkan agar proses perundangan syariah dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan telus,” katanya dipetik Roketkini.

COMMENTS