Malaysia Dateline

Belanjawan 2019 peruntukan RM314.5b

Belanjawan 2019 akan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion dalam perbelanjaan berbanding anggaran RM290.4 bilion peruntukan pada tahun 2018. Daripada jumlah tersebut, RM259.8 bilion adalah bagi Perbelanjaan Mengurus, dan RM54.7 bilion lagi adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan. Peruntukan ini tidak termasuk Simpanan Luar Jangka berjumlah RM2 bilion.

Sektor Ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM29.2 bilion yang merangkumi pengangkutan, perdagangan, industri, tenaga dan kemudahan awam dan pertanian. Sektor Sosial akan menerima sejumlah RM15.2 bilion. Manakala, Sektor Keselamatan diperuntukkan RM7.1 bilion, dan Sektor Pentadbiran Am sebanyak RM3.2 bilion.

Peruntukan Pembangunan telah menyaksikan peningkatan daripada RM44.9 bilion pada tahun 2017 kepada RM54.9 bilion dan RM54.7 bilion pada tahun 2018 dan 2019 masing-masing. Sebab utama yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah pengelasan semula apa yang dahulunya digolongkan sebagai Peruntukan Mengurus, kepada Peruntukan Pembangunan yang berjumlah RM6.9 bilion pada tahun 2018 dan RM9.7 bilion untuk tahun 2019.