Belanjawan 2019: RM200juta kepada PUNB beri nafas baru kumpulan usahawan

Belanjawan 2019: RM200juta kepada PUNB beri nafas baru kumpulan usahawan
Pengerusi PUNB Pulau Pinang Abdullah Mohamed Nor

Pengumuman kerajaan yang memperuntukan dana sejumlah RM200 juta kepada PUNB melalui bajet 2019 yang telah diumumkan baru-baru ini amat dialu-alukan oleh Kumpulan Usahawan PUNB Pulau Pinang.

Menurut Pengerusinya, Abdullah Mohamed Nor, peruntukan tersebut mampu memberi lonjakkan khususnya kepada usahawan-usahawan yang sememangnya memerlukan modal pusingan.

Malah katanya, dengan dana yang diperuntukan ia membuktikan kepedulian kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuklah kepada usahawan-usahawan kecil dan sederhana.

“Di Pulau Pinang kita mempunyai seramai 75 usahawan PUNB yang turut aktif dalam pelbagai sektor.

“Mereka juga bergelut dengan pelbagai masalah termasuklah modal pusingan.

“Manakala bagi seluruh kawasan Kulim, Bandar Baharu, Parit Buntar, Selama, Perak sehinggalah ke Pulau Pinang kita mempunyai seramai 231 usahawan yang aktif, ” ujarnya lagi.

Sehubungan itu tegasnya, dengan dana yang disediakan dalam bajet tersebut adalah diharapkan ia mampu menambah jumlah sokongan kepada para usahawan yang memerlukan.

“Sebelum ini dana yang disediakan oleh PUNB bagi menyokong para usahawan adalah bermula dengan dana sebanyak RM1 ribu sehinggalah RM5juta bergantung kepada jenis produk dan keperluan mereka.

“Maka itu dengan dana yang diperuntukan dalam bajet baru-baru ini diharapkan ia mampu untuk mencambahkan lagi usahawan Bumiputera dan meringankan beban yang mereka tanggung.

“Cumanya kita amat mengharapkan proses saluran dana yang diumumkan dapat disalurkan dengan dipermudahkan cara tanpa perlu melalui banyak birokrasi, ” tegas beliau ketika ditemui hari ini.

Justeru itu tambahnya, semua usahawan harus mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan menurut proses permohonan supaya dana dapat disalurkan dengan cepat dan mudah.

Beliau juga berkata, kesungguhan kerajaan kini amat dihargai kerana ia memberi ruang yang besar kepada para usahawan untuk memperbaiki keadaan dan menjana pendapatan dalam skala besar.

COMMENTS