Belanjawan 2020: 20 klinik kesihatan, sebuah hospital baharu bakal dibina

Belanjawan 2020: 20 klinik kesihatan, sebuah hospital baharu bakal dibina

Sebanyak 20 klinik kesihatan dan sebuah hospital baharu akan dibina berdasarkan sejumlah peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan pada Belanjawan 2020, semalam, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata merujuk kepada pembinaan hospital baharu, sebanyak RM1.17 bilion diperuntukan bagi naik taraf kemudahan-kemudahan hospital manakala RM416.1 juta melibatkan pembinaan hospital baharu iaitu Hospital Kampar selain projek-projek pembinaan hospital yang sedang berjalan.

“Manakala sejumlah RM95 juta turut diperuntukkan untuk pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan hospital sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Edaran Pelekat Notis Larangan Merokok di Premis Perniagaan Peringkat Negeri Perak hari ini.

Mengulas lanjut berkaitan 20 klinik kesihatan baharu yang akan dilaksanakan itu, Dzulkefly berkata kementeriannya menitik beratkan aspek pengukuhan perkhidmatan di klinik kesihatan seluruh negara bagi menyampaikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Jadi, mana-mana klinik kesihatan yang memerlukan dana dan baikpulih atau naiktaraf, kita akan beri keutamanaan,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak A Sivanesan.

Sementara itu, Sivanesan pula berkata, hospital Kampar baharu yang akan dibina bagi menggantikan hospital sedia ada itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk.

“Kita tidak dapat memastikan lagi berapa banyak katil bagi Hospital Kampar baharu yang akan dibina nanti, tetapi Hospital Kampar sedia ada sekarang mempunyai kira-kira 80 katil.

“Hospital Kampar yang sedia ada sebelum ini bukan jenis hospital pakar, jadi kita mengharapkan hospital baharu yang akan dibina ini akan dapat menjadi hospital pakar sepenuhnya,” katanya sambil memaklumkan terdapat empat hospital pakar di Perak

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM30.6 bilion bagi memastikan rakyat memperoleh akses penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua selaras dengan aspirasi masyarakat yang inklusif.

Lim membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama berkata peruntukan tersebut lebih tinggi berbanding RM28.7 bilion pada belanjawan tahun lepas yang bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan penjagaan kesihatan awam.

Katanya, peruntukan yang diumumkan itu merangkumi tujuh perkara, antaranya RM1.6 bilion bagi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada, termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kampar, Hospital Labuan dan Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth II di Sabah.

Manakala sejumlah RM319 juta bagi membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters.

— BERNAMA