Belanjawan 2020 ‘bela’ nasib rakyat Sarawak

Belanjawan 2020 ‘bela’ nasib rakyat Sarawak

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menyifatkan bahawa Belanjawan 2020 adalah sebagai membela nasib seluruh rakyat di negeri ini.

Katanya, peruntukan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM4.4 bilion kepada Sarawak pada Belanjawan 2020, adalah antara peruntukan terbanyak diterima negeri ini daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah PH sentiasa bertangungjawab membela nasib seluruh rakyat di Sarawak selepas 50 tahun diabaikan oleh kerajaan sebelum ini, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam Sidang Dewan Parlimen semalam.

Chong berkata, keseluruhannya Sarawak bakal menerima 14.8 peratus daripada peruntukan keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan yang dibentangkan semalam.

Dalam pembentangan berkenaan, Guan Eng berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM297 bilion untuk keseluruhan belanjawan dan daripada jumlah itu RM241 bilion untuk operasi mengurus sementara selebihnya RM56 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Jelas beliau, ini merupakan peruntukan terbanyak kepada Sarawak berbanding ketika kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).

“Sarawak mendapat RM4.4 bilion iaitu sebanyak 14.8 peratus jumlah tersebut namun kerajaan terdahulu tidak pernah menerima peruntukan sebanyak ini,” katanya.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, belanjawan kali ini juga merupakan mesra perniagaan yang memperuntukkan pelbagai geran serta pengecualian cukai.

“Ini akan mendorong lebih banyak lagi keusahawanan selain memberi hala tuju yang jelas untuk sektor perniagaan ke arah ekonomi digital serta Revolusi Industri (RI) 4.0.

“Justeru saya yakin akan ramai yang mendapat manfaat daripada belanjawan ini. Ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak korup dan wang pembayar cukai dapat membantu rakyat serta ekonomi negara berdaya maju,” tambahnya.

Sehubungan itu, Chong berharap agar kerajaan negeri dapat memberikan bekerjasama dengan persekutuan dalam melaksanakan peruntukan yang telah dibentang dalam Belanjawan 2020.

“Saya akan mengaturkan perjumpaan dengan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan serta agensi kerajaan persekutuan berkaitan untuk memberi taklimat kepada sektor perniagaan di Sarawak.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, memberitahu, Kerajaan PH terus komited mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak melalui pelbagai ‘goodies’ untuk kedua-dua negeri itu menerusi Belanjawan 2020.

Katanya, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion bagi tahun depan.