Malaysia Dateline

Belanjawan 2020 beri peluang rakyat Johor miliki rumah pertama

Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi & Multimedia Negeri Johor menyambut baik belanjawan 2020 yang sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-11 bagi meningkatkan akses kepad rakyat Negeri Johor untuk memiliki rumah pertama.

Pengerusinya,  Dzulkefly Ahmad berkata, lanjutan tempoh Skim Perumahan Belia bagi pemilikan rumah pertama yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) merupakan satu tindakan tepat membolehkan golongan belia mendapat akses bagi memiliki rumah pertama mereka.
“Skim yang disediakan mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021 itu, sekaligus membantu golongan muda mendapatkan pinjaman 100 peratus dengan jaminan pinjaman 10 peratus dariapada pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, inisiatif penyediaan Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki (Rent To Own – RTO) dengan dana sebanyak RM10 bilion juga akan dapat mengatasi dua isu besar yang dihadapi oleh
pembeli.

Isu tersebut jelasnya, termasuk kesukaran menyediakan bayaran 10 peratus deposit pembelian rumah dan kegagalan mendapatkan pinjaman perumahan.

“Penyediaan peruntukan RM100 juta bagi penyelenggaraan Perumahan Awam seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) merupakan satu inisiatif yang sangat baik.

“Pengalaman Kerajaan Negeri Johor sebelum ini, sekitar 40 peratus hingga 45 peratus sahaja penyewa PPR atau RSK yang membayar sewa dan Kerajaan Johor terpaksa mengeluarkan peruntukan RM7 juta hingga RM8 juta setahun bagi menampung kekurangan kos bagi kerja-kerja penyelenggaraan PPR dan RSK ini,” katanya.

Ujarnya, kerajaan Pusat juga bersetuju menurunkan harga lantai pemilikan warga asing dari RM1 juta kepada RM600,000 bagi hartanah kediaman pangsapuri dan kondominium bagi mengurangkan lambakan pangsapuri dan kondomium yang dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion.

Ini kerana menurutnya, Negeri Johor merupakan negeri yang paling tinggi memiliki hartanah tidak terjual di Malaysia.

“Pihak Pejabat Tanah & Galian Johor (PTG) sedang mengadakan bengkel yang melibatkan pelbagai agensi sebelum mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri tentang kajian harga lantai pemilikan asing ini,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, Kerajaan Johor menyambut baik langkah mengurangkan beban individu dalam membayar 5 peratus Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT) bagi pelupusan atau penjualan hartanah (hartanah pertama mendapat perlepasan) selepas 5 tahun dimiliki dengan menetapkan nilai pasaran pada 1 Januari 2013 sebagai harga pemerolehan hartanah daripada 1 Januari 2000.

“lni bermakna sesiapa yang membeli hartanah sebelum 1 Januari 2013 tidak perlu membayar 5 peratus CKHT.

“Tindakan ini bersesuaian dengan tujuan Akta CKHT diwujudkan bertujuan membendung aktiviti spekulasi yang bermotifkan mengaut keuntungan dalam masa yang singkat di atas jual beli hartanah,” jelasnya.
Justeru katanya, Kerajaan Johor mencadangkan supaya peruntukan diberikan kepada Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya meneruskan Skim Rumah Mesra (SRM).

SRM adalah skim membina rumah di atas tanah sendiri atau tanah milik orang lain yang telah mendapat izin pada harga kos yang diberikan diskaun dan juga pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi maksud sewaan.