Malaysia Dateline

Belanjawan 2020 berpandukan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, kata Mohd Redzuan

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yakin Belanjawan 2020 bulan depan akan berpandukan intipati Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata hal ini kerana wawasan berkenaan mampu membantu dan meningkatkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah.

“Bagi memastikan Malaysia dapat menjadi sebuah negara industri dan maju, belanjawan mesti selaras dengan wawasan itu dan ia juga adalah misi bagi MED untuk memastikan cita-cita itu dilaksana dan tercapai.

“Malah, belanjawan kali ini adalah amat penting bagi MED sebagai kementerian yang menyelaras program keusahawan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan 2019, di sini, malam tadi.

Pada Mei lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan wawasan baharu yang dikenali Kemakmuran Bersama dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia dalam usaha memajukan negara.

Wawasan itu adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan saksama di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030.

Baru-baru ini, Dr Mahathir menegaskan wawasan itu adalah usaha untuk merapatkan jurang kemiskinan antara negeri kaya dan miskin, bandar dan luar bandar serta pendapatan pekerja.

Mengulas mengenai majlis itu, Mohd Redzuan berkata majlis seumpama itu wajar diperbanyakkan kerana dilihat mampu mencungkil bakat serta potensi usahawan muda.

“Melihat kepada pemenang tadi, ramai anak muda berjaya dalam bidang keusahwanan dan menjadi penanda positif bidang ini ada pelapis yang berpotensi tinggi,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengarah Urusan Des Prix Infinitus Media, Hagenz Choo.

Majlis anugerah berprestij anjuran Des Prix Infinitus Media menyaksikan 70 anugerah diberikan kepada usahawan, ahli perniagaan dan pemimpin industri tempatan dan seluruh Asia.– BERNAMA