Belanjawan 2020: Harapan pentadbiran Islam, institusi masjid, elaun imam, guru kafa dapat dipertingkatkan

Belanjawan 2020:  Harapan pentadbiran Islam, institusi masjid, elaun imam, guru kafa dapat dipertingkatkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusudf Rawa mengharapkan agar Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan hari ini, dapat menawarkan elaun para imam, guru Kafa dan kemakmuran institusi masjid lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Pentadbiran Islam adalah satu sektor utama dalam perbelanjaan kerajaan untuk memastikan pelancaran dan penerangan dasar baru Rahmatan Lil Alamin digerakkan merentas sektor.

Selain itu kebajikan warga yang menerima elaun dari kerajaan mengikut keperluan semasa diharapkan dapat ditingkatkan seperti elaun para imam, guru Kafa dan pemakmuran institusi masjid.

Walaupun demikian, prestasi mereka juga perlu dipertingkatkan.

Cabaran memenuhi aspirasi Malaysia sebagai model negara Islam yang progresif, aman dan berwibawa perlu memenuhi kehendak bajet dari sudut dasar galakan, insentif dan perundangan kerana ia akan memenuhi keperluan sektor halal, kewangan Islam dan institusi sosio-ekonomi antaranya wakaf dan zakat yang berdaya saing dengan keperluan semasa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ini kerana pada Belanjawan 2019 lepas, bagi memastikan kemajuan syiar Islam Kementerian Kewangan memperuntukkan RM1.2bilion. Peruntukan itu memperlihatkan peningkatan sebanyak RM100 juta berbanding peruntukan pada belanjawan tahun 2018 (dibawah pemerintahan BN), RM1.1 bilion.

Selain itu sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khairah Ummah’ untuk melahirkan leih ramai profesional di kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada sekolah tahfiz bagi tujuan menaik taraf dan penyelenggaraan.

Justeru kata Dr Mujahid lagi bagi Belanjawan 2020 merupakan tahun kedua dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berasaskan kerangka baru kerajaan.

Katanya, kali ini adalah hasrat untuk melihat perubahan struktural dalam suasana ekonomi dunia yang lembap.

“Pengisian konsep kemakmuran bersama dalam memenuhi objektif keharmonian dan kesepaduan nasional sangat bergantung kepada peranan dasar masyarakat RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang diusahakan. Oleh itu, peruntukan untuk program ke arah tersebut perlu ada,” ujarnya.