Belanjawan 2020: Insentif dapat bantu IKS aplikasi teknologi automasi, robotik

Belanjawan 2020: Insentif dapat bantu IKS aplikasi teknologi automasi, robotik

Kerajaan dicadang untuk memberi penekanan kepada bantuan kewangan dan insentif kepada industri kecil dan sederhana (IKS), dalam membantu mereka mengubah cara operasi kerja supaya teknologi automasi dan robotik dapat diperkenalkan.

Presiden Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata kira-kira 98 peratus atau 980,000 (IKS) di negara ini dikategorikan dalam kumpulan itu dan majoritinya mempunyai sumber kewangan terhad.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting bantuan diberikan bagi membantu mereka meluaskan keupayaan penggunaan teknologi automasi dan robotik, kerana ia dapat meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka.

“Seiring dengan itu juga, majikan perlu menyediakan peluang kemahiran kepada pekerja, bagi memastikan kemahiran dan skil mereka relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Shamsuddin berkata masalah graduan baharu yang menganggur dan bekerja tidak setara dengan kelayakan akademik perlu ditangani, dengan institusi pengajian menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan menyediakan kursus yang disijilkan dalam tempoh yang pendek, bagi melengkapkan kemahiran terkini.

Insentif seperti pelepasan cukai kepada majikan yang mempunyai kemahuan untuk ‘mengaji’ graduan baharu ini juga perlu, kerana ia dapat menarik lebih ramai majikan menawarkan peluang pekerjaan, katanya.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Mursyid Arshad pula berharap, kerajaan dan pemegang kepentingan menyediakan platform berkaitan pekerjaan digital, untuk graduan meneroka dan mencipta peluang pekerja dalam bidang itu.

Beliau berkata pekerjaan dalam digital seperti melalui media sosial Facebook, dan kini media sosial itu menjadi satu cabang perniagaan terkini, yang menjanji pendapatan.

“Kelompok belia yang menganggur paling tinggi adalah lepasan universiti, mereka ini bukan ketidakcukupan kemahiran atau tidak kompeten, tapi peluang pekerjaan sedikit dan persaingan yang besar.

“Sebab itu adalah disarankan supaya lebih ramai pemegang kepentingan, menyediakan platform berasaskan digital untuk graduan meneroka bidang itu, tanpa perlu mencari kerja makan gaji semata-mata,” katanya sambil menekankan aspek penguasan bahasa ekonomi bahasa Mandarin perlu diperkasakan.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berpendapat peluang pekerjaan akan lebih bertambah sekiranya ekonomi negara berkembang dengan kemasukan pelaburan dalam dan luar negara.

Justeru, beliau berkata kerajaan perlu mencari jalan untuk menarik pelabur, dengan mewujudkan program-program baharu dan menarik dalam struktur ekonomi negara.

“Jadi kerajaan perlu ada ‘stimulate’ dan insentif baharu yang boleh mengekalkan dan mengalakkan pelabur. Jadi, peluang pekerjaan akan bertambah selari dengan perkembangan ekonomi,” katanya.– BERNAMA