Malaysia Dateline

Belanjawan 2020: Keperluan tambah peruntukan galak industri 4.0 terus berkembang, kata pakar ekonomi

Kerajaan perlu meningkatkan peruntukan sekurang-kurangnya sehingga RM2 bilion berbanding RM210juta dalam Belanjawan 2020 sekiranya berhasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan industri berteknologi tinggi menerusi tumpuan Industri 4.0.

Menurut Pakar Ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, bajet sedia ada yang diperuntukan bagi tempoh 2019 hingga 2021 dilihat tidak mencukupi bagi tempoh dua tahun mendatang oleh kerana negara mengalami krisis produktiviti kakitangan yang rendah.

“RM210 juta itu sangat kecil dan tidak mencukupi bagi tempoh lagi dua tahun kerana sebenarnya penerimaan IR 4.0 merupakan keputusan yang sangat tepat pada masanya kerana kita sedang menghadapi krisis produktiviti dimana produktiviti kakitangan kita adalah agak rendah.

“Kerajaan perlu menyediakan kos latihan yang tinggi seperti skim khusus di dalam program IR 4.0 bagi melatih dan memberi kemahiran baharu kepada kakitangan disamping menempatkan mereka ke jawatan baharu untuk meningkatkan produktiviti mereka.

“Kita memerlukan belanjawan yang setara dengan jumlah belanjawan negara. Dengan usaha untuk melakukan perubahan kearah IR 4.0, kerajaan perlu melabur lebih daripada RM2bilion atau RM3 bilion,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan sama ada jumlah peruntukan sedia ada bagi menggalakkan peralihan Malaysia kepada industri 4.0 adalah mencukupi.

Sementara itu, Barjoyai turut menegaskan, sektor pembangunan dan penyelidikan (R&D) merupakan sektor penting yang akan merancakkan kemajuan ekonomi ke arah IR 4.0, maka perlunya untuk memberi penumpuan kepada penyelidikan inovasi.

Jelasnya, penyelidikan asas perlu dikurangkan oleh kerana tujuan untuk mewujudkan sesuatu teknologi dan ciptaan baru itu mungkin memakan masa untuk dibawa ke pasaran.

“Tapi kalau kita beri tumpuan kepada penyelidikan inovasi, kita dapat menekankan kepada pembaharuan yang boleh terus dibawa ke pasaran dengan jayanya.

“Jadi kita boleh memacu penyelidikan inovasi dalam bidang Internet of Things (IOT), Artificial Intelligence (AI), dan juga robotik dengan membawa pemain dari industri dengan kerjasama sektor pendidikan khususnya fakulti IT, untuk mewujudkan inovasi baru dalam pasaran yang menepati keperluan industri masing-masing,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri 4.0 sememangnya menarik lebih banyak kedatangan pelabur asing seperti Amerika Syarikat yang mula beralih minat dengan Malaysia.

Namun, beliau turut tidak menolak kemungkinan kedatangan pelabur asing itu oleh kerana perang dagang antara AS-India yang menjadi faktor firma dari AS berminat mengukuhkan kehadiran di Malaysia.

Walau bagaimanapun jelasnya, ia tidak memberi impak buruk kerana pada dasarnya negara tetap akan memperoleh manfaat modal dan potensi untuk mengembangkan sumber inovasi negara.

“Kita sedar bahawa semua pelabur yang datang ke Malaysia akan membawa potensi untuk membangunkan sumber inovasi dan juga kepakaran, kemahiran, selain daripada modal.

“Jadi ini yang kita patut galakkan. Tak kisahlah kalau mereka datang sebenarnya kerana nak mengatasi masalah perang dagang antara India, sebab kalau itu matlamat mereka, tak apa. Kita masih lagi dapat limpahan modal dan juga pembaharuan dalam kemahiran dan dalam inovasi di dalam pasaran Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, industri perkhidmatan seperti hospitaliti merupakan industri yang mudah dikembangkan oleh kerajaan dan perlu diberi perhatian.

“Kerajaan perlu beri perhatian pada sektor hospitaliti yang meliputi sektor pelancongan, kesihatan, dan akademik kerana ia merupakan industri yang mudah dikembangkan. Disamping itu, lihat juga pada industri berkaitan dengan ICT, kemajuan pembinaan aplikasi dan AI.

“Dalam sektor pertanian pula, kita hanya perlu membawa teknologi baru yang sedang digunakan di negara maju ke Malaysia sebagai satu inovasi menggalakkan atau menjadikan sektor pertanian berdaya maju,” katanya.

Sebagai rekod kerajaan menerusi Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0 telah memperuntukan RM210juta dalam Belanjawan 2019 bagi tahun 2019 sehingga 2021 untuk mengalakkan negara beralih kepada industri 4.0.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menjalankan program Readiness Assessment untuk membantu 500 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) beralih kepada teknologi Industri 4.0.

Baca: KWP harap dapat peruntukan sewajarrnya