
Belanjawan 2020 Kerajaan Negeri Sarawak ‘terdesak’
Belanjawan 2020 Kerajaan Negeri Sarawak disifatkan sebagai ‘terdesak’ berikutan sokongan daripada rakyat negeri ini kepada barisan kepimpinan merundum.
Pengerusi Parti AMANAH Negara Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi berkata Belanjawan 2020 Kerajaan Negeri Sarawak yang diumumkan semalam merupakan langkah terdesak kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS)meraih sokongan rakyat di negeri ini yang semakin menurun.
Sebagai contoh,katanya kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) gara-gara disebabkan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kepimpinan GPS menyedari bahawa sokongan terhadap mereka semakin merosot sejak kebelakangan ini lebih-lebih lagi keberanian rakyat menidakkan penolakan MPKKP.
“Justeru bagi mencari dan meraih sokongan, mereka(kerajaan negeri)terpaksa mengumumkan peruntukan sebanyak itu kepada JKKK.
“Jelas sekali mereka amat terdesak selepas rakyat di negeri ini menerima penubuhan MPKKP yang dilihat sebagai penghubung kemajuan antara penduduk dan masyarakat Sarawak dan kerajaan pusat,” ujarnya.
Mohamad Fidzuan berkata demikian ketika diminta mengulas Belanjawan 2020 Kerajaan Negeri Sarawak yang dibentangkan oleh Ketua Menterinya,Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak di Kuching semalam.
Abang Johari berkata peruntukan RM100 juta untuk JKKK adalah bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti serta membayar elaun bulanan dan mesyuarat pengerusi dan setiausaha JKKK.
Ditanya tentang keseluruhan belanjawan, Mohamad Fidzuan menjelaskan ia adalah umpama ‘bajet di atas angin’.
Ini kerana, menurut beliau pada belanjawan tahun-tahun sebelumnya fokus untuk membangunkan kawasan di luar bandar tetap dilaungkan namun hasilnya tetap sama.
‘Kita di Sarawak masih lagi dibelenggu masalah asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya sejak berdekad lamanya.
Sehubungan itu,rakyat kini terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman sudah muak dengan janji yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan negeri.
Keseluruhannya Belanjawan 2020 Kerajaan Negeri Sarawak untuk tahun hadapan ialah sebanyak RM9.81 bilion.
Daripada jumlah berkenaan, sejumlah RM6.597 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan manakala RM3.294 bilion bagi perbelanjaan operasi.