Malaysia Dateline

Belanjawan 2020: KWP harap dapat peruntukan sewajarnya demi kesejahteraan rakyat

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berharap akan mendapat peruntukan yang sewajarnya pada pembentangan belanjawan 2020 bagi mensejahterakan kehidupan rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad walau bagaimanapun berkata, peruntukan  tersebut bergantung kepada Kementerian Kewangan (MOF) itu sendiri.

“Bukan terserah kepada MOF untuk bagi berapa jumlah kepada KWP, sebaliknya bajet tersebut dinilai berdasarkan senarai projek yang dirancang oleh pihak kementerian.

“Saya nak sebut jumlah ikut suka pun tak boleh kerana ia bergantung kepada kira-kira yang sedang dilaksanakan dan MOF akan mengkaji kemudian mengagihkan bajet. Mungkin juga bajet akan dipotong berdasarkan jumlah peruntukan yang ada pada mereka (MOF).

“Akhirnya, semua kena akui bahawa kita tidak akan dapat semua yang diminta kerana peruntukan itu terhad.

“Kerajaan pun bertanggungjawab untuk menentukan bahawa kita tidak terlalu boros dalam perbelanjaan sehingga menghasilkan hutang negara yang terlalu tinggi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan 15,000 pelekat kereta ‘Daulat Tuanku’ untuk diedarkan kepada warga kota sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mengulas demikian di Menara DBKL hari ini, ketika ditanya pemberita mengenai harapannya terhadap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Pada Belanjawan 2019, Kementerian Wilayah Persekutuan menerima peruntukan sebanyak RM1.57bilion.

Terdahulu, Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH menyempurnakan perasmian dan pelancaran Program Paparan Sembah Takzim Sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2019, seterusnya menampal pelekat ‘Daulat Tuanku’ di beberapa buah kenderaan.

Sumbangan pelekat itu adalah inistiatif berterusan Pertubuhan Warisan Negara yang merupakan satu organisasi bukan kerajaan yang komited dalam usaha mendaulatkan sistem Raja Berpelembagaan dan menyokong Institusi Raja-Raja Melayu.