Malaysia Dateline

Belanjawan 2020: LKIM harap kerajaan tingkatkan ekonomi nelayan

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap agar kerajaan dapat memberi tumpuan terhadap pembangunan sosio-ekonomi nelayan yang masih lagi tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) dalam pembentangan Belanjawan 2020 yang akan datang.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia selari dengan cadangan pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram bahawa dasar pertanian Malaysia perlu dirombak secara menyeluruh.

Katanya, sektor perikanan negara tidak boleh berdasarkan ‘business as usual’, malah ia seharusnya diberi suntikan idea baru berasaskan teknologi dan diversiti industri.

“Pekerjaan sebagai nelayan ini harus dilihat sebagai bidang teknikal pada masa hadapan, di mana teknologi pertanian pintar seperti Artificial Intelligence, dron, Internet of Things dan sebagainya digunakan dalam menambah baik taraf dan produktiviti industri perikanan.

“Pelaburan kerajaan dan swasta harus diperkukuhkan dalam mendorong pembangunan pintar dalam industri
perikanan, di mana teknologi moden diintegrasikan secara mudah dengan proses tangkapan hasil laut bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan produktiviti nelayan.

“Dengan menggalakkan penglibatan anak muda dalam industri hiliran juga, kita dapat memastikan kelangsungan atau “sustainability” bidang perikanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berharap agar Belanjawan 2020 akan mewujudkan dana khas untuk memberi sokongan kewangan kepada anak-anak muda daripada isi rumah nelayan dalam menubuhkan perniagaan-perniagaan berteraskan hasil laut.

Jelasnya, insentif khas juga perlu diberikan kepada nelayan sekiranya mereka telah menepati beberapa kriteria seperti melibatkan diri dalam program peningkatan kemahiran, memastikan anak-anak ke sekolah tanpa cuti berpanjangan.

Tambah Faiz lagi, elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 diharap dapat dikembalikan bagi membantu mengurangkan beban para nelayan yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan terjamin.

“Secara umumnya, menjadi harapan saya agar Belanjawan 2020 akan mengambil langkah meningkatkan perbelanjaan memandangkan pertumbuhan ekonomi dunia yang semakin perlahan dan sentimen pengguna yang lemah.

“Suntikan dana oleh Kerajaan dapat membantu dalam terus memperkukuhkan ekonomi negara untuk tahun hadapan dalam memastikan agenda kemakmuran bersama dapat dilaksanakan secara holistik dan efisyen terutama dalam merapatkan jurang sosio-ekonomi golongan nelayan

“Langkah ini akan memastikan para nelayan dan keluarga mereka berusaha untuk memperbaiki taraf hidup mereka,” ujarnya.