Belanjawan 2020 memacu ekonomi nilai tinggi, kukuhkan sektor pertanian

Belanjawan 2020 memacu ekonomi nilai tinggi, kukuhkan sektor pertanian

Belanjawan 2020 telah membuktikan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama menerusi inisiatif-inisiatif yang mengukuhkan taraf hidup rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Manakala sektor pertanian yang menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar, telah diangkat sebagai satu daripada empat bidang fokus dalam belanjawan 2020 untuk mencapai kepelbagaian ekonomi.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil.

Jelasnya, peningkatan mendadak peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak 10.9 peratus kepada RM4.9 bilion bagi tahun 2020 harus diberi penghargaan.

“Selain itu kerajaan juga memberi perhatian tinggi kepada industri perikanan dengan peruntukan subsidi maupun insentif bagi tahun 2020 yang kebanyakannya telah ditambah jika dibandingkan dengan tahun 2019.

“Ini termasuklah elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM250 sebulan dengan peruntukan sebanyak RM152 juta, Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sejumlah RM121.2 juta dan elaun Sara Hidup Nelayan Darat sebanyak RM3.5 juta.

“Kenaikan elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM200 kepada RM250 sebulan adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada rakyat bawahan,” ujarnya.

Malah kata Faiz lagi, nelayan merupakan golongan pekerja yang begitu tersepit dan terpaksa berjuang dalam kehidupan ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Di samping itu tegasnya, terdapat antara golongan nelayan yang tidak dapat turun ke laut ekoran cuaca yang begitu buruk.

Sehubungan itu kata beliau, kenaikan ini adalah hadiah istimewa untuk golongan nelayan dengan harapan ianya dapat meringankan beban hidup serta dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan mutu tangkapan ikan serta memastikan penambahan bekalan ikan.

“Belanjawan 2020 turut memberikan perhatian khusus buat golongan muda apabila peruntukan perbelanjaan pembangunan Kementerian Belia dan Sukan telah meningkat sebanyak RM107 juta atau lebih 28 peratus.

“Peruntukan ini telah difokuskan untuk program dan inisiatif yang bermatlamat untuk mengasah bakat, melatih ketrampilan dan pembangunan sukan anak muda.

“Melalui usaha unik Graduan Kerja pula, graduan yang menerima tawaran kerja setelah menganggur melebihi 12 bulan akan menerima insentif RM500 sebulan atas gaji yang diterima selama dua tahun,” tambah beliau.

Menurut beliau, inisiatif Perantis Kerja juga turut memberi elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan bagi menggalakkan belia dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau juga berkata, keprihatinan kerajaan turut terserlah apabila peluang bagi golongan muda untuk memiliki kehidupan yang lebih baik dipertingkatkan melalui Skim Pembiayaan ‘Rent To Own’ yang akan menggalakkan pemilikan rumah bagi anak muda, khususnya pembeli rumah pertama.

“Institusi kewangan akan menyediakan RM10 bilion, manakala kerajaan pula akan menjamin sejumlah RM3 bilion.

“Usaha kerajaan yang pelbagai terhadap pemilik perusahaan kecil dan sederhana turut akan mempunyai kesan positif kepada usahawan-usahawan muda.

“Bagi usahawan Bumiputera pula, geran sebanyak RM445 juta disediakan untuk mengukuhkan akses kepada pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan,” jelas beliau.

Apa yang menarik katanya, bagi meningkatkan ekonomi Bumiputera peruntukan sebanyak RM8 bilion turut diumumkan dan seharusnya dimanfaatkan oleh golongan muda.

Secara keseluruhan tambah beliau, belanjawan 2020 telah berjaya memperkenalkan inisiatif-inisiatif pengukuhan ekonomi yang konstruktif tanpa mengabaikan kedudukan kewangan kerajaan.

Jelasnya, belanjawan 2020 turut diyakini meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH kerana ia merangkumi kepentingan rakyat dalam pelbagai bidang dan segmen.