Belanjawan 2020 mesra keluarga, wanita dan masyarakat

Belanjawan 2020 mesra keluarga, wanita dan masyarakat

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menyifatkan Belanjawan 2020 sememangnya mesra keluarga, wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata ini berikutan penambahan tiga kali ganda peruntukan bagi penyediaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan kerajaan.

“Yay.. RM30 juta untuk TASKA di tempat kerja bagi penjawat awam!! Kami akan usahakan yang terbaik untuk keselamatan kanak-kanak, sekali gus membantu lebih ramai wanita untuk terus bekerja,” katanya dalam laman Twitter hari ini bagi memberi reaksi kepada pembentangan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam cadangan Belanjawan 2020, kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM10 juta pada 2019 kepada RM30 juta pada 2020, untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA terutamanya di hospital dan sekolah.

Sebagai tambahan, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke TASKA dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000.

Pada tahun ini, kerajaan berjaya menyediakan 66 TASKA baharu di bangunan kerajaan dengan peruntukan RM10 juta berbanding sasaran awal 50 TASKA.