Belanjawan 2020: Pemerkasaan PKS menerusi pendigitalan dan berinklusif

Belanjawan 2020: Pemerkasaan PKS menerusi pendigitalan dan berinklusif

Pada Jumaat, Menteri Kewangan telah membentang Belanjawan 2020 yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’.

Belanjawan 2020 kali ini agak menarik kerana kerajaan telah membentangkan peruntukan perbelanjaan yang kurang RM17.1 bilion berbanding Belanjawan 2020. Namun, ianya tidak memperlihatkan pengurangan komitmen kerajaan untuk terus memacu perkembangan ekonomi Malaysia, terutamanya sektor PKS.

Jika dibandingkan dengan Belanjawan 2019 yang memberikan sekitar 9 bentuk insentif kepada sektor PKS, pada Belanjawan 2020 pula, insentif tersebut telah meningkat sekali ganda kepada 18 bentuk insentif yang lebih berpelbagaian, berteraskan kepada pembinaan kapasiti dan daya saing PKS menerusi pendigitalan yang juga bersifat inklusif.

Ini adalah satu insentif yang sangat baik untuk menggalakkan pertumbuhan sektor PKS. Ini kerana, sektor PKS terdiri daripada lebih 98 peratus komposisi perniagaan di seluruh Malaysia yang meliput pelbagai bidang ekonomi, daripada sektor pertanian sehingga ke sektor perkhidmatan.

Belanjawan 2020 terus menunjukkan komitmen serius kerajaan untuk meningkatkan keupayaan ekonomi digital dan automasi dalam PKS. Pelbagai peruntukkan dan insentif pembiayaan disediakan untuk PKS bagi menaiktaraf operasi perniagaan mereka ke arah mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ini.

Ini merupakan usaha yang baik untuk memastikan kebolehpasaran dan daya saing produk PKS di peringkat global. Tambahan pula, pemberian inisiatif Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bernilai RM300 ribu mampu meningkatkan kuantiti eksport produk PKS.

Peruntukkan Belanjawan 2020 ini juga bersifat inklusif kerana turut secara jelas membuka peluang semua kaum terutamanya kaum wanita untuk mendapatkan insentif sektor PKS ini. Malah peruntukan khas sekitar RM700 juta melalui 2 insentif berbeza dilihat mampu memperkasakan penyertaan kaum wanita dalam bidang ekonomi.

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan Belanjawan 2020 kali ini adalah lebih baik dan mencerminkan kematangan kerajaan baharu untuk terus memacu perkembangan ekonomi negara dalam situasi ekonomi tidak menentu pada hari ini.

*Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia