Malaysia Dateline

Belanjawan 2020: Terengganu beri insentif RM500 kepada penjawat awam negeri

Kerajaan Terengganu hari ini mengumumkan pemberian sumbangan sejahtera sebanyak RM500 kepada 12,863 penjawat awam di negeri itu dengan peruntukan sebanyak RM6.431 juta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata sumbangan itu sebagai menghargai penjawat awam yang berdedikasi dan komited sehingga meletakkan Terengganu antara negeri yang terbaik di Malaysia.

“Sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan penjawat awam, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan sumbangan sejahtera kepada penjawat awam negeri yang berjumlah RM500.

“Bagaimanapun, tarikh pemberian insentif itu masih belum dimuktamadkan,” katanya selepas membentangkan Belanjawan Terengganu 2020 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman pada Ahad.

Antara perkara yang menarik perhatian dalam belanjawan kali ini ialah penyaluran bantuan am sebanyak RM250 ribu yang akan diberikan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan.

Ahmad Samsuri berkata PAS dan UMNO sudah menjalin kerjasama menerusi Muafakat Nasional untuk membangunkan negara dan Terengganu atas dasar Islam.

“Inilah komitmen dan keseriusan pihak kerajaan negeri yang mahu melihat suasana politik di Terengganu dan Malaysia berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Untuk rekod, Terengganu mempunyai 22 ADUN PAS, 10 ADUN Barisan Nasional dan seorang ADUN wanita yang dilantik pada November tahun lalu.– BERNAMA