Malaysia Dateline

Belanjawan 2021 dan pendidikan negara era pandemik Covid-19

Keadaan negara yang mengalami krisis kesihatan, politik dan ekonomi menyebabkan segala urusan tergendala termasuk pendidikan negara. Golongan pelajar sekolah rendah dan menengah sedang mengalami gangguan minda kesan berantai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semestinya Belanjawan 2021 yang buat pertama kali dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memberi penekanan khusus kepada aspek pendidikan selepas kesihatan.

Hal ini kerana, kerajaan yang ada hari ini perlu bersifat responsif dalam apa jua keadaan termasuk masalah pandemik Covid-19 ini. Seharusnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memainkan peranan bagi memastikan apa jua keadaan, anak-anak kita mampu meneruskan pelajaran.

Jika KPM mewajibkan pembelajaran secara atas talian, bukan cuma arahan tetapi ia perlu diiringi dengan beberapa inisiatif untuk memudahkan proses ini berjalan.

Kedua, andai kata jika pandemik ini berakhir tahun ini, pastinya tahun 2021 merupakan permulaan kepada guru-guru serta warga pentadbir akademik merangka pelaksanaan dasar pendidikan yang mampu mengatasi krisis yang wujud pasca pandemik Covid-19.

Warga pendidik dan pentadbir akademik merupakan petugas hadapan pada masa itu. Oleh itu, perlunya kerajaan PN khususnya KPM di bawah pimpinan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr. Radzi Jidin menyediakan belanjawan yang lebih besar untuk memastikan hal ini terlaksana.

Saya membahagikan cadangan saya dan sebahagian kecil rakyat yang hampir keseluruhannya warga pendidik dan pentadbir akademik kepada beberapa komponen iaitu guru & kurikulum, keperluan murid, infranstruktur & kemudahan dan akhir sekali sistem sokongan.

1) Guru dan kurikulum

Mendepani cabaran baru pasca PKP dan Covid-19 ialah bagaimana sistem pembelajaran itu dilakukan. Walaupun kerajaan telah mengumumkan penekanan kepada proses pembelajaran atas talian, adakah guru kita bersedia dan mempunyai kemahiran dalam mengendalikannya?

Oleh itu, KPM harus menyediakan sejumlah peruntukan berfokus bagi memberikan bimbingan dan latihan pedagogi kepada guru-guru. Pastinya peruntukan ini akan digunakan untuk menampilkan jurulatih utama mahupun guru cemerlang yang ditugaskan untuk membangunkan semula pedagogi baru yang berorintasikan PKP.

Dalam masa sama, KPM perlu menyalurkan insentif khas buat guru yang berjaya membangunkan kaedah pengajaran yang sesuai dengan situasi pandemik ini. Dengan adanya imbuhan ini, guru-guru akan menjadi lebih bermotivasi untuk membina kaedah pengajaran mereka.

Persoalan seterusnya, adakah kurikulum yang dibina sejak beberapa tahun lalu, perlu terus kekal walaupun kita mengetahui bahawa dengan proses pembelajaran baru secara dalam talian, adalah sukar untuk segala isi kandungan kurikulum disampaikan kepada murid.
Oleh yang demikian, KPM disaran untuk membentuk sebuah jawatakuasa khas yang dipimpin oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum serta ahlinya terdiri dari pakar akademik, pakar psikologi, pakar kemahiran dan pakar kanak-kanak untuk berperanan dalam menyemak semula sukatan kurikulum.

Tajuk-tajuk yang dirasakan perlu dan tidak perlu mengikut keadaan semasa akan disenaraikan, dan diumumkan kepada pihak pentadbir sekolah dan guru, dengan cara itu, guru akan mengajar tajuk yang dikategorikan perlu sahaja untuk jangka masa pendek.

Adalah penting untuk kurikulum itu diwujudkan untuk mendidik pelajar. Dalam keadaan, masa yang terhad, KPM harus menilai apa yang perlu untuk murid kita khususnya murid sekolah rendah.

Bukankah jika pembelajaran secara bersemuka, guru sekolah rendah memainkan peranan menumbuhkan semangat dan sifat muridnya hingga menjadi manusia yang kuat dan matang?

Namun apabila PKP berlaku, bolehkah kita bayangkan betapa terabainya perhatian dan fokus murid-murid ini apabila lama tidak disapa oleh guru-guru.

Maka KPM harus memperluaskan dasar guru penyayang ini terhadap guru-guru melalui norma baru (PKP). Guru-guru di sekolah rendah ditugaskan untuk berperanan lebih besar melaksanakan sesi pembelajaran fokus membina akhlak dan semangat pelajar.

Selain kemahiran asas belajar, inilah aspek kedua terbesar harus dijalankan oleh para guru. KPM melalui Bahagian Psikologi dan Kaunseling boleh membina modul khas yang akan dijadikan panduan kepada guru-guru ini.

 

2) Keperluan murid

Komponen kedua dan merupakan paling utama yang harus diberikan perhatian oleh KPM dan MOF dalam membentangkanBbelanjawan 2021 ialah murid atau pelajar sekolah.

Komponen ini terjejas dari segi fizikal, mental, intelektual dan emosi apabila PKP dilaksanakan. Jika kerajaan gagal untuk melaksanakan langkah-langkah pemulihan kepada murid dan pelajar ini, pastinya mereka akan ditimpa kesan yang lebih besar kelak.

Antara keperluan murid yang perlu disediakan oleh pihak KPM dan MOF ialah skim jalur lebar asas (berkeupayaan untuk melayari laman sesawang pembelajaran dalam talian) untuk diguna oleh murid menjalankan proses pembelajaran dalam talian.

Hal ini penting buat murid khususnya luar bandar. Kesukaran mereka untuk mendapatkan kemudahan ini menggagalkan mereka untuk mengikuti proses pembelajaran.

Seterusnya, dengan terjejasnya proses pembelajaran secara bersemuka,pastinya proses saringan murid mahupun pelajar ke MRSM, Kolej Vokasional, SBPI dan kolej matrikulasi sedikit tergendala dan penilaiannya tidak sama seperti tahun-tahun lalu.

Oleh itu, haruslah dipertimbangkan agar kuota murid/pelajar B40 untuk kemasukan ke sekolah-sekolah yang disebutkan tadi ditambah. Ini bagi memastikan murid atau pelajar yang terganggu akibat pelaksanaan PKP diberi peluang untuk menuntut ilmu di sana. Selain ia akan menjadikan Malaysia menuju sebuah negara berkemahiran dan bukan semata-mata akademik apabila ramai pelajar sekolah harian menyertai kolej vokasional.

Bantuan makanan percuma untuk murid/pelajar wajar diteruskan semenjak pelaksanaannya di zaman menteri Dr. Maszlee Malik. Dengan mengisi keperluan yang ada ini ia akan membantu perkembangan tumbesaran murid/pelajar kita.

Demi meningkatkan keupayaan bakat dan kreativiti murid/pelajar di sekolah, KPM dan MOF boleh mempertimbangkan satu subsidi untuk satu murid/pelajar.

Ini bermaksud setiap murid/pelajar yang terlibat dengan aktiviti ko-akademik atau kokurikulum diberikan satu subsidi berbentuk bantuan keperluan mereka.

Contohnya, jika murid/pelajar tersebut berbakat dalam bidang bola sepak, mereka layak mendapat bantuan sepasang kasut bola.

Begitulah dengan aktiviti-aktiviti lain. Ini akan membuktikan bahawa KPM bukan hanya menekankan kepada akademik semata-mata, namun bakat dan kreativiti merupakan antara aspek yang juga diberi perhatian.

Murid sekolah rendah dilihat lebih terkesan dengan norma baharu pembelajaran tanpa bersemuka dengan guru

3) Infrastruktur dan kemudahan

Kesan dari pelaksaan PKP, sekolah yang perlu dibuka semula perlu memastikan penjarakkan fizikal antara pelajar,guru dan staf diwujudkan.

Oleh itu, pastinya beberapa struktur bangunan dan kemudahan perlu diubah agar penjarakkan ini berlaku. KPM dan MOF boleh memperuntukkan sejumlah perbelanjaan khas untuk digunakan oleh pihak sekolah dalam menyusun semula fizikal sekolah norma baharu.

Jika di sekolah Putrajaya yang muridnya tidak ramai dengan bangunan sekolah yang besar, penjarakkan fizikal boleh dijalankan. Namun, sebaliknya bagi sekolah separa bandar dan luar bandar, ia tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk melaksanakan penjarakkan fizikal. Moleklah kiranya peruntukan itu diturunkan ke bawah.

Kemudahan peralatan semak suhu, pencuci tangan dan pelitup muka perlu disediakan oleh KPM untuk pihak sekolah. Menyediakan keperluan ini bukan tugas pihak sekolah, ia tugas kepimpinan KPM mengaturkannya supaya kemudahan ini dapat disediakan.

KPM boleh menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi untuk mencari solusi bagaimana peralatan semak suhu dan pencuci tangan boleh dibekalkan kepada setiap sekolah sepanjang 2021.

Tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri pula untuk mencadangkan kepada pengurusan penjara untuk meminta banduan-banduan menyediakan pelitup muka khas buatan mereka sendiri bagi menjimatkan pembelian pelitup muka buat murid/pelajar sekolah sepanjang 2021.

Akhirnya, dalam komponen infrastuktur dan kemudahan, KPM harus mengakui bahawa fizikal yang ada di sekolah berorintasikan abad ke-19, sedangkan murid/pelajar dan kurikulum yang digunakan pada masa kini adalah abad ke-21.

Oleh itu, KPM dan MOF perlu menyegerakan peruntukkan khas untuk pemulihan fizikal sekolah yang sudah lama khususnya luar bandar.

Sekolah perlu memastikan penjarakkan fizikal antara pelajar guru dan kakitangan bagi mengekang penularan jangkitan Covid 19

4) Sistem sokongan

Memastikan sistem pendidikan bergerak kehadapan, ia perlu disokong oleh beberapa pihak, antaranya ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, kerajaan boleh menambah satu lagi pelepasan cukai kepada ibu bapa yang telah menyumbang kepada Tabung PIBG sekolah.

Kita tahu bahawa tabung PIBG merupakan peruntukan kedua yang banyak digunakan oleh sekolah-sekolah bagi menangani masalah di sekolah masing-masing. Dengan pengukuhan dari kerajaan menggalakkan ibu bapa memberi sumbangan PIBG, ia memudahkan urusan PIBG membantu pihak sekolah.

Inilah beberapa cadangan saya buat KPM dan MOF untuk dipertimbangkan agar kelangsungan sistem pendidikan negara kita dapat diteruskan walau apa jua cabaran yang datang.

Keprihatinan saya dalam pendidikan menjadi keutamaan, dan ia akan menjadi matlamat hingga akhir perjuangan.

* SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN merupakan AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor dan Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak.