Malaysia Dateline

Belanjawan 2021: Kembalikan semula inisiatif MalaysiaKerja

Belanjawan 2021 perlu mengembalikan semula inisiatif MalaysiaKerja yang telah ditamatkan pada Julai lalu agar peluang pekerjaan dapat diwujudkan semula untuk rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, program MalaysiaKerja pada awalnya telah dilancarkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang membolehkan sehingga 350,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam tempoh lima tahun.

Bagaimanapun beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) menerusi satu surat dari Kementerian Kewangan pada 27 Julai lalu telah memaklumkan inisiatif tersebut terpaksa ditamatkan susulan penularan wabak pandemik Covid-19.

“Namun begitu, disebabkan krisis Covid-19 yang melanda, MalaysiaKerja nampaknya lebih relevan dan penting.

“Ini kerana rakyat Malaysia mengalami kehilangan pekerjaan dengan kadar pengangguran rasmi meningkat dari 3.3 peratus pada tahun 2020 kepada 4.7 peratus hari ini.

“Persekutuan Majikan Malaysia juga telah menganggarkan bahawa kadar pengangguran mungkin mencecah setinggi 13 peratus disebabkan oleh krisis ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Pua lagi, pengembalian semula program inisatif MalaysiaKerja ini adalah salah satu daripada enam tuntutan utama dari PH kepada Kementerian Kewangan untuk dibentangkan dalam ‘Belanjawan Perpaduan’ kali ini.

Beliau berkata, memandangkan keadaan ekonomi Malaysia yang terjejas, Belanjawan 2021 mesti melebihi apa yang diumumkan untuk tahun 2020, termasuk pemberian subsidi gaji bagi syarikat-syarikat yang terjejas teruk.

“Kegagalan meneruskan MalaysiaKerja dan langkah-langkah tambahan lain untuk melindungi dan meningkatkan pekerjaan, akan menjadikan Belanjawan 2021 sebagai kegagalan besar bagi kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia,” kata Pua lagi.