Malaysia Dateline

Belanjawan 2021: Kenapa semuanya dikaitkan masalah Mahathir-Anwar?

Isu undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Khamis, 26 November lalu, tidak ada kaitan pun dengan masalah berpanjangan di antara dua tokoh besar, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Namun, banyak pihak dilihat suka mengaitkannya, sehingga mengeruhkan lagi keadaan, seolah-olah hanya faktor Mahathir-Anwar mendominasi seluruh polemik politik tanahair.

Sedangkan persoalan sebenar, ramai penyokong pembangkang tidak berpuas hati apabila Belanjawan 2021 yang dikritik hebat sepanjang perbahasan di Parljmen itu boleh sahaja diluluskan dengan mudah.

Untuk mendapatkan 15 ahli Parlimen yang bangun meminta proses undi belah bahagi pun tidak mampu; hanya 13 wakil pembangkang — kurang dua orang — berbuat demikian.

Rata-rata warganet kecewa apabila peluang untuk menguji sokongan majoriti terhadap kerajaan pintu belakang Muhyiddin Yassin tidak dimanfaatkan dengan baik. Lebih memilukan penyokong pembangkang, insiden tersebut mendedahkan, sekali lagi, tiada kesatuan dan persefahaman sesama oposisi.

Sasaran kekecewaan itu lebih tertumpu kepada Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Anwar dilaporkan — dan beliau sendiri mengakui — telah mengarahkan ahli-ahli Parlimen PH agar tidak bangun untuk meminta proses undi belah bahagian.

Malah, beberapa pemimpin kanan PH, yang pada mulanya bangun, terpaksa duduk kembali kerana menghormati arahan Anwar, seterusnya mengakibatkan undi suara yang menyokong Belanjawan 2021 itu diluluskan.

Memang diakui Menteri Kewangan semasa ucapan penggulungan sebelum proses undian telah mengemukakan beberapa penambahbaikan yang bersifat populis, soalnya apakah tindakan itu terlalu sukar untuk dijangka Anwar dan barisan pembangkang?

Umum, malah dunia maklum, bagaimana kerajaan tebuk atap Muhyiddin dalam keadaan terdesak dan hampir lemas, serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kuasa.

Isu-isu seperti moratorium, KWSP dan tambahan saguhati untuk kelompok tertentu ekoran pandemik Covid-19 terlalu kecil dibandingkan dengan pengekalan kuasa Perikatan Nasional.

Selain itu, bukankah sejak awal pembangkang sudah memberi penjelasan, soal-soal asas seperti peruntukan emolumen kakitangan awam dan perbelanjaan kritikal langsung tidak terjejas sekiranya Belanjawan ditolak. Bekas perdana menteri, Dr Mahathir sendiri merakamkan pengalamannya berdepan isu Belanjawan 2000 yang belum sempat diluluskan ekoran PRU 1999.

Isu lebih pokok, apabila usul undi tidak percaya kepada perdana menteri nampak gagal untuk dibentangkan di Parlimen, maka proses undian belanjawan adalah sebagai gantinya.

Menolak belanjawan bermakna menolak perdana menteri yang mengambil alih kerajaan dengan jalan khianat, menyogok wakil rakyat dan mengamalkan “cash is king”.

Jadi, ia bukan lagi terfokus kepada kandungan belanjawan semata-mata. Polemik sebenar adalah menguji keabsahan atau legitimasi kerajaan pintu belakang Muhyiddin.

Lagi pun, bukankah setiap kali belanjawan dibentangkan, termasuk selama lebih kurang satu dekad di bawah Najib Razak, semuanya mendakwa dan kelihatan, “mengutamakan kebajikan dan membantu rakyat”?

Persoalan lebih pedih untuk diterima penyokong pembangkang, benarkah arahan Anwar untuk tidak meminta undi belah bahagian itu, difaktorkan oleh mesej daripada Zahid Hamidi, Presiden Umno, bahawa kemnya sudah “U-turn” dan kembali menyokong Muhyiddin?

Apakah Anwar masih meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada jamjnan sokongan Zahid, dan juga Najib, ketika banyak pihak hanya melihat ia sekadar umpan Umno untuk “tarik tali” dengan Muhyiddin dan Bersatu?

Sememangnya Umno sedang bertarung dengan Bersatu untuk muncul sebagai parti Melayu paling berpengaruh dan menjadi peneraju utama kerajaan.

Fokus lebih besar buat pembangkang, mereka mahukan kepemimpinan Anwar yang lebih berwibawa, tegas dan berprinsip, serta tidak kelihatan membelakangkan rakan-rakan PH. Mengenali siapa kawan, siapa lawan. Tidak membiarkan sekutu dan para penyokong dalam kekeliruan. Di saat-saat kritikal mampu dengan bijaksana merumuskan keputusan terbaik.

Janganlah melihat kritikan terhadap Anwar sebagai sokongan kepada Mahathir pula. Hadapi realiti seadanya. Ambil iktibar dan pengajaran sepenuhnya daripada episod ini. Usah kusutlah lagi situasi.

Elakkan daripada situasi kerajaan Muhyiddin, Azmin Ali rasa selesa manakala barisan pembangkang pula dilanda pertelingkahan baharu. Boleh suarakan kekecewaan dan bantahan, tetapi berpadalah.