Malaysia Dateline

Belanjawan 2021: ‘One-off’ RM500 kepada petugas barisan hadapan

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan bersetuju untuk melaksanakan pembayaran One-off kepada Barisan Hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak RM500.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bayaran tersebut sebagai tanda penghargaan jasa anggota barisan kesihatan KKM yang dijangka akan memanfaatkan sehingga 100,000 petugas.

Lain, Zafrul berkata sebanyak RM1 bilion akan diperuntukkan bagi membendung gelombang Ketiga wabak Covid-19.

“ianya merangkumi RM475 juta pembelian bekalan reagen, kit saringan & bahan guna habis khusus untuk kegunaan di makmal perubatan KKM.

“Kedua, RM318 juta bagi penyediaan peralatan perlindungan (PPE) dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan.

“Ketiga, RM150 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19,” katanya semasa pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.

Sejak Mac, kerajaan telah memberikan elaun khas sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan KKM dan ia akan diteruskan sehingga ancaman pandemik berjaya diatasi.