Malaysia Dateline

Lim Kit Siang PH

Belanjawan 2021: Pembangkang jamin respons positif asalkan PN sedia berunding

Perikatan Nasional (PN) tidak boleh mengabaikan pandangan dan keperluan rakyat seolah-olah kerajaan mempunyai ‘cek kosong’ dan berkuasa dalam menentukan Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, kerajaan perlu menyertai satu perbincangan dengan para pemimpin Pakatan Harapan untuk mencapai persetujuan ‘perjanjian keyakinan dan perbekalan’ supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan di Parlimen.

Beliau menyatakan pendiriannya yang selari dengan gesaan Majlis Presiden Pakatan Harapan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera berunding dengan pembangkang sebelum belanjawan dibentangkan pada 6 November nanti.

“Parti-parti Pembangkang bersedia untuk memberikan respons positif jika parti-parti dalam kerajaan mampu membentangkan visi perpaduan dan solidariti, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, kelas, mahupun latar belakang politik, untuk bersatu melawan Covid-19.

“Bagaimanapun, pihak kerajaan tidak boleh menjangkakan satu cek kosong untuk mengabaikan pandangan dan keperluan rakyat.

“Tetapi mereka perlu menyertai satu perbincangan yang positif dan konstruktif dengan para pemimpin Pakatan Harapan untuk mencapai persetujuan perjanjian keyakinan dan perbekalan supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan agar semua ahli politik memberi sokongan kepada pembentangan Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

Baginda juga bertitah agar ahli Parlimen menghentikan segera segala perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Justeru itu pada semalam, Majlis Presiden PH menggesa agar Perdana Menteri mengadakan rundingan mengenai Belanjawan 2021 dengan pihak pembangkang sebelum dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Ketiga-tiga parti komponen PH iaitu PKR, AMANAH dan DAP percaya semua Ahli Parlimen akan berbahas secara sihat di Dewan Rakyat nanti.

Namun apa yang menjadi persoalan kata Lim, mampukah parti komponen PN mengetepikan politik sempit perkauman dan keagamaan untuk menjunjung seruan Yang di-Pertuan Agong agar usaha digerakkan melibatkan “keseluruhan kerajaan dan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19.

“Lima hari telah dibazirkan sejak daripada titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang menolak cadangan Kabinet Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.

“Namun parti-parti Perikatan Nasional masih belum berjaya membuktikan yang mereka mampu untuk mengetepikan politik sempit perkauman dan keagamaan untuk membentuk satu visi Malaysia yang lebih luas untuk menjunjung seruan Yang di-Pertuan Agong.

“Sekarang adalah masa untuk meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan politik kepartian dan diri sendiri. Sekarang bukanlah masanya untuk mendapatkan jawatan dan kepentingan politik,” tegasnya lagi.