Malaysia Dateline

Belanjawan 2021 tolong fokus juga masalah keganasan terhadap wanita

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan mendesak agar Belanjawan 2021 memperuntukan jumlah yang secukupnya untuk memberi sokongan kepada usaha menjaga kebajikan wanita dan keluarga termasuk menghentikan keganasan terhadap wanita

Ketua Awan Negeri Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kerajaan diseru untuk menambah kakitangan talian kasih dan menyediakan rumah perlindungan yang sesuai untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan

Beliau berpendapat, strategi menghentikan keganasan terhadap wanita perlu menumpukan usaha kepada tiga bahagian penting, antaranya pendidikan berterusan kepada masyarakat agar mereka memahami isu keganasan dan peranan dalam menghentikannya.

“Selain itu, masyarakat perlu diberi pendedahan tentang undang-undang seperti Akta Keganasan Rumahtangga dan bahagian berkaitan di bawah Kanun Keseksaan.

“(Undang-Undang ini) perlu difahami bukan sahaja oleh wanita, bahkan juga oleh pegawai-pegawai jabatan berkaitan yang memberi khidmat untuk mangsa keganasan.

“Strategi ketiga, sistem sokongan dan rumah perlindungan untuk mangsa keganasan mesti disediakan oleh pihak kerajaan dan juga bukan kerajaan.

“Bukan itu sahaja, usaha pemulihan perlu dilakukan terhadap pelaku demi menghentikan kitaran keganasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Hafidzah berkata Biro Kesihatan AWAN dengan kerjasama Biro Komunikasi AWAN Nasional akan menganjurkan kempen ‘Sayangi Wanita Hargai Wanita; Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ pada 25 November nanti.

Beliau berkata, program tersebut bersempena dengan hari Menghentikan Keganasan Terhadap wanita (VAW) yang diadakan di peringkat antarabangsa.

Majlis Pelancaran akan diadakan di Minhouse Camp Kota Bharu oleh Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah.