Malaysia Dateline

Belanjawan 2021: Wanita PKR kemuka enam tuntutan

Wanita PKR telah menggariskan enam tuntutan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 nanti.

Ketuanya Fuziah Salleh berkata, kerajaan diharap dapat terus memperkasa perlindungan sosial “i-Suri” dengan meluaskan liputan ke Sabah dan Sarawak untuk kepentingan wanita khususnya suri rumah.

Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan perlindungan khusus kepada mangsa keganasan rumah tangga dengan peruntukan khas persediaan hotel-hotel terpilih sebagai tempat perlindungan sementara untuk mangsa.

Cadangan itu juga meliputi saranan untuk menyediakan peruntukan agar talian psikososial khusus untuk aduan keganasan rumahtangga diperluas kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) terpilih dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Wanita PKR menggesa peruntukan khas diberi bagi pemberdayaan Program Kaunselor dalam komuniti untuk membantu ahli komuniti yang terkesan dengan impak pandemik termasuk mereka yang mengalami isu kesihatan mental.

“Tuntutan yang ketiga, kerajaan wajar memberi keutamaan kepada Mahkamah Syariah (Khas) bagi tuntutan-tuntutan nafkah dan tuntutan perceraian akibat keganasan rumahtangga agar disegerakan dalam tempoh pandemik.

“Tuntutan keempat pula adalah menjamin sekuriti makanan dengan mengutamakan kumpulan sasar B40,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk tuntutan keempat itu, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, ianya meliputi pemberian baucar penebusan makanan untuk keluarga B40, kepada ibu setiap keluarga yang diberikan melalui pusat khidmat Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Program AgroWanita (Program Urban Farming & Kebun Komuniti) sebagai langkah program memperkasa komuniti sekuriti makanan dan pertanian yang dikenali sebagai GSC “Grow, Sell and Consume”.

Memperincikan lagi cadangan untuk diketengahkan dalam Belanjawan nanti, Fuziah juga meminta agar hak kanak-kanak terhadap pendidikan boleh diakses dalam tempoh pandemik Covid-19.

Terakhir, Wanita PKR menggesa agar Program Daftar Warga Emas (DAWE) dilaksanakan dengan segera bagi tujuan perlindungan terhadap warga emas yang tinggal berseorangan dan sistem semakan keselamatan terutama sepanjang tempoh pandemik.