Malaysia Dateline

Belanjawan 2022: Kerajaan digesa struktur semula Kementerian Pertanian

Menteri Kewangan dikatakan akan memberi lebih tumpuan kepada sektor pertanian dalam Belanjawan 2022 namun bagi merealisasikan agenda itu beberapa cadangan perlu diberi perhatian.

Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Datuk Mazlan Aliman berkata, defisit import dengan eksport negara dalam sektor makanan adalah tidak seimbang dan ini menjadi krisis yang membimbangkan.

Tambahnya, defisit boleh mencapai 30 peratus dalam tempoh 10 tahun mendatang jika langkah-langkah segera tidak dilakukan.

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu juga menyarankan agar penstrukturan semula Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dilakukan dengan segera. harus segera dilakukan.

“13 Agensi di bawahnya kementerian berkenaan kebanyakkan mempunyai fungsi yang hampir sama atau bertindan dan wajar digabungkan.

“Biar lebih efisien dan fokus kepada matlamatnya,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Mazlan juga mengkritik kepimpinan di dalam MAFI di mana agensi dan institusi pertanian seharusnya diberikan kepada mereka yang ahli dan ada ‘roh atau penghayatan’ agar benar-benar dapat meningkatkan sektor pertanian sekaligus membantu kumpulan sasar

“Masalahnya, ada yang memegang jawatan terlalu lama, walaupun sudah tidak relevan,” tambahnya.

Selain itu beliau meminta agar dasar pertanian sentiasa diperbaharui seperti mengemukakan pelan strategik Pertanian begitu juga mengurangkan karenah birokrasi.

“Sejauh mana pelaksanaan dan pemantauan kerana banyak retorik di atas kertas.

“Sebagai contoh, bila penternak mempersoalkan harga makanan ruminan termasuk ayam, yang didakwa begitu mahal, apa jawapan mereka yang berautoriti? Amat mengecewakan!.

“Sektor pertanian sangat terdedah kepada cuaca dan cabaran semasa seperti Covid 19.

“Musim hujan dan cuaca panas yang ekstrim menyebabkan hasil pertanian musnah atau berlaku lambakan hasil.

“Kadangkala, nak dapatkan pampasan dari Tabung Bencana, macam peminta sedekah. Sudah berapa lama bincang mengenai skim Insuran Petani, bila mahu dilaksanakan?” soalnya.

Musibah Covid-19 sejak melanda negara, katanya menyebabkan pengangguran meningkat dengan ketara dengan langkah ini peluang untuk anak muda terlibat khususnya dalam pertanian berteknologi moden dan bernilai tinggi amat cerah.

Mazlan juga menggesa agar insentif atau pembiayaan dipertingkatkan bagi memberi ruang kepada petani bagi mereka yang berminat dan berjinak-jinak khususnya anak muda.

“Namun, apa yang berlaku, peruntukan dibawah agropreneur muda ciput,”katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkembangan industri pertanian dan penternak dilihat berdasarkan potensi sedia ada industri pertanian negara dengan matlamat utama untuk memperkasa inisiatif jaminan makanan (food security).

“Untuk Belanjawan 2022, kami mahu fokus kepada sektor pertanian terutama dari segi jaminan makanan. Jaminan makanan ini jika dilihat adalah salah satu elemen penting dalam Pakej Rangsangan dan Belanjawan 2021.,” katanya.