Malaysia Dateline

Belanjawan 2022: Konsep perbelanjaan pengembangan dicadangkan PH diterima

Konsep perbelanjaan secara pengembangan yang dicadangkan Pakatan Harapan semasa rundingan pra-bajet telah diterima oleh kerajaan.

Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa pembentangan Belanjawan 2022 hari ini juga menerima cadangan iaitu bantuan rakyat dan untuk keselamatan sosial.

Katanya, peruntukan sekolah Tahfiz yang dicadangkan Pakatan Harapan turut diterima iaitu dengan memberi peruntukan sebanyak RM 150 juta untuk bantuan.

“Peruntukan Pentadbiran Islam ada peningkatan untuk penambahan guru takmir. Isu penstrukturan Tabung Haji melalui UJSB yang PH mulakan diteruskan melalui komitmen jaminan kerajaan bawah GG.

“Jangan ada lagi pihak yang mempertikaikan usaha PH kerana kos pemulihan kekal sebagai komitmen jaminan kerajaan yang tersenarai dalam ms 82 bawah tajuk Jaminan Kerajaan “Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022″,” katanya.

Belanjawan 2022 memperuntukan sebanyak RM 311.1 bilion bercirikan pengembangan dan berkonsepkan sebagai belanjawan pemulihan untuk menyokong usaha pembaharuan kerajaan yang lebih meluas dan berjangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Tiga fokus utama Bajet 2022 iaitu memacu pemulihan ekonomi (recovery), membina semula daya ketahanan negara (resilience) dan memangkin pembaharuan (reform), bank dan institusi kewangan termasuk institusi kewangan pembangunan (DFI) akan memainkan peranan penting untuk terus maju.