Malaysia Dateline

Belanjawan 2022: Perlukan kejujuran dalam pengurusan belanjawan

Tahun lepas apabila kita membahas Belanjawan 2021, kita membahas Belanjawan yang paling besar dalam sejarah negara pada ketika itu, iaitu sebanyak RM322.5 billion.

Tahun ini, rekod angka belanjawan ini telah dipecah, yang mana Belanjawan 2022 membawa suatu perbelanjaan sebanyak RM332.1 Billion, meningkat sebanyak RM9.6 bilion.

Peningkatan ini adalah dalam suatu keadaan yang mana keadaan kewangan negara adalah amat terhad, dengan perlunya meningkatkan siling hutang statutori dari paras 55% kepada 60% pada tahun lepas, dan 65% pada tahun ini. Hutang negara telah melonjat kepada RM1.187 trillion. Keadaan “meminjam untuk membayar hutang” negara adalah begitu serius, sehinggalah RM98.058 bilion atau 50.4% daripada keseluruhan pinjaman baharu sebanyak RM194.555 bilion adalah digunakan untuk membayar balik prinsipal hutang bagi tahun 2020, seperti yang dinyatakan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2020.

Maka, kita tidak mampu dan tidak berupaya untuk meneruskan masalah yang kita hadapi – iaitu kecuaian, penyelewengan dan keborosan dalam perbelanjaan.

Ketua Audit Negara baru-baru ini dalam pengauditan pematuhan terhadap Kementerian dan Jabatan Persekutuan telah mengesan sebanyak RM620.07 juta wang rakyat yang membabitkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran. Kesemua ini patut dihentikan dan pihak penguatkuasa haruslah mengambil Tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

RM332.1 Bilion

Kerajaan perlu bersikap jujur dalam apabila membentangkan jumlah perbelanjaan bagi Kerajaan Tahun 2022 iaitu sebanyak RM332.1 bilion, dengan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM233.5 b (70.3%), Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM75.6 bil (22.7%) dan Tabung Covid-19 sebanyak RM6.9%.

Rakyat hendak tahu samaada jumlah sebanyak RM332.1 bilion ini telah merangkumi kesemua perbelanjaan yang dianggarkan dan diumumkan.

Pada tahun lepas, apabila Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2021, beliau telah mengumumkan suatu jumlah perbelanjaan sebanyak RM3 bilion untuk tujuan pembelian vaksin Covid-19. Namun, walaupun pengumuman dibuat sebegitu dalam ucapan Belanjawan, jumlah sebanyak RM3 bilion ini sebenarnya tidak termasuk dalam jumlah Perbelanjaan RM322.5 bilion tahun 2021, dan akhirnya Kerajaan pada bulan April yang lepas, dengan menggunakan kuasanya di bawah Darurat, telah menggunakan wang dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk menepati jumlah RM3 bilion yang diumumkan.

Bagi saya, pengumuman peruntukkan sebanyak RM3bil untuk tujuan perolehan vaksin tanpa dimasukkan dalam anggaran perbelanjaan tahun 2021, merupakan suatu perkara yang serious dan mengelirukan dewan yang mulia ini. Saya pasti ramai Ahli2 Dewan memang tidak tahu pada Ketika itu, wang memang tidak disediakan walaupun pengumuman telah dibuat. Is this a creative way by the Government in giving a good figure for the people to read?

Samaada perkara ini akan berulang bagi tahun 2022? Samaada kesemua perbelanjaan seperti yang diumumkan telah diperuntukkan dalam Belanjawan Tahun 2022 iaitu RM332.1 bil? Contohnya, samaada RM4.8 yang diumumkan untuk tujuan JaminKerja telah diperuntukkan sebagai sebahagian RM332.1 bil tersebut?

Lanjutan Polisi Kerajaan PH

Saya ingin mengmabil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih, terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan sekarang, yang telah memberikan pengiktirafan terhadap polisi-polisi baik yang dikemukakan oleh Kerajaan PH pada tahun 2018-2020, dan sekaligus membuktikan bahawa polisi-polisi yang diperkenalkan oleh Kerajaan PH pada ketika itu telah mendatangkan buah dan hasil dan menjadi low hanging fruit yang boleh dipetik pada bila-bila masa sekarang.

MySalam

Program MySalam telah diperkenalkan oleh Kerajaan PH pada tahun 2019, dan merupakan suatu skim yang memanfaat kesemua golongan B40 dan selepas itu diperluaskan kepada golong M40 pada Februari tahun 2020.

Namun, apabila Program MySalam diperkenalkan oleh Kerajaan PH, apa yang kita terima adalah kritikan dan persoalan “siapa yang untung” dari Ahli-Ahli Dewan Rakyat di sebelah sana.

Pada bulan April 2019 (tak sampai 4 bulan MySalam diperkenalkan), YB Pekan telah mempersoalkan jumlah tuntutan yang dibayar setakat ini tidak berbaloi berbanding wang yang kononnya telah dibayar kerajaan kepada syarikat insurans yang mengendalikan program MySalam. Beliau kata beliau kecewa kerana syarikat insurans dari Singapura tekah dianugerahkan projek MySalam itu telah mendapat manfaat yang lebih berbanding rakyat Malaysia. Katanya “Untungnya syarikat Singapura itu yang diberi projek MySalam ini, dapat projek insuran RM2 bilion tetapi hanya perlu bayar tuntutan RM40,200 setakat April 2019, ataupun purata RM414 setiap tuntutan.”

Pada bulan Februari 2020 pula, YB Ayer Hitam beberapa banyak kali mempersoalkan hanya RM13.7 juta dituntut pada tahun 2019 walaupun size dana adalah sebanyak RM2b, dan mempersoalkan siapa yang mendapat keuntungan dari situ.

Polisi PH dipersoal, polisi PH dikritik, tetapi pada akhirnya Kerajaan melalui Menteri Kewangan sekarang memperakui manfaat yang dibawa oleh Program MySalam. Setakat ini, diakui oleh Menteri Kewangan sendiri, MySalam memanfaatkan 125,000 orang dengan jumlah pampasan diberikan sebanyak RM180,000. Bagi pesakit Covid-19 pula, bantu segera melalui MySalam diberikan dengan 229,000 orang penerima dan jumlah pampasan sebanyak RM115,000.

Program Jamin Kerja

Menteri Kewangan mengumumkan suatu peruntukkan sejumlah RM4.8 bil untuk Program JaminKerja. Bagi saya program ini terlalu lambat, dan ia sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2020 lagi.

Kerajaan PH dalam Belanjawan 2020 mengumumkan RM6.5 bilion untuk Program [email protected] yang dijangka mencipta 350,000 peluang pekerjaan dalam masa 5 tahun. Program ini akan memanfaaat ratusan ribu lepasan universiti, warga Wanita dan pekerja tempatan. Kerajaan PN sebelum ini telah gagal melaksanakan program ini pada tahun 2020.

Sekali lagi, terbukti, Kerajaan sekarang mengakui Program [email protected] ini merupakan satu Program yang baik dan mengemukakan semula Program ini. Tahniah dan Syabas kepada Kerajaan PH sebelum ini.

Hanya dengan kedua-dua polisi MySalam dan Program JaminKerja membuktikan polisi-polisi baharu yang diperkenalkan Kerajaan PH sebelum ini merupakan polisi yang baik untuk Rakyat, dan berjiwa Rakyat. Cuma, kadang-kala Kerajaan PH pada Ketika itu tidak pandai untuk membuat publisiti, tidak menggunakan wang rakyat untuk tujuan publisiti seperti peruntukkan JKOM pada tahun lepas. Terbuktilah, Kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang jauh lebih baik dan lebih mantap.

Peruntukkan Kepada SUWA etc

Saya telah meneliti keseluruhan ucapan Menteri Kewangan dan berasa kesal Kerajaan sekarang telah gagal memberikan peruntukkan kepada sekolah-sekolah berlainan aliran seperti yang telah diberikan oleh Kerajaan PH dahulu.

Apabila Kerajaan PH memerintah, peruntukkan kepada sekolah-sekolah tahfiz, sekolah-sekolah cina dan tamil telah diberikan peruntukkan yang mencukupi. Namun, untuk dua tahun berturut-turut, sekolah-sekolah SUWA telah tidak diberikan peruntukkan dalam ucapan Belanjaan, berbanding dengan RM15 juta yang diberikan pada tahun 2020. Sekolah Sekolah SJKC juga kehilangan peruntukkan RM20 juta setahun untuk tujuan pembinaan sekolah baharu, RM12 juta untuk pembayaran tambahan utility SJKC, dan RM 6 juta untuk 3 pengajian tinggi swasta – New Era, han Jiang, Northern.

Kesemua peruntukkan ini adalah penting untuk membantu sekolah-sekolah dan untuk murid-murid serta pelajar-pelajar. Setelah Kerajaan tukar, kesemua peruntukkan ini hilang, dan apa yang lebih teruk lagi adalah hilang di bawah sebuah Kerajaan yang kononnya berslogan “Keluarga Malaysia”. Bagaimanakah Kerajaan boleh mengelarkan dirinya sebagai sebuah Kerajaan Malaysia apabila gagal untuk memberikan pertimbangan dan bantuan kepada semua tanpa mengira kaum agama dan bangsa?

Peranti Siswa Keluarga Malaysia

Perkara terakhir yang saya ingin bangkitkan adalah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang mana Kerajaan akan memperuntukkan RM450 juta untuk memberi peranti kepada seramai 600 ribu siswa-siswi daripada keluarga B40.

Tahun lepas, murid-murid sekolah telah dijanjikan 150,000 buah laptop dan sudah setahun berlalu, laptop-laptop tersebut masih belum lagi sempurna diedarkan sampai hari. Tidak ada orang tahu bagaimana nak buat permohonan, dan apakah kriteria pemberian. Di Kawasan saya sebagai contoh, hanya sebuah sekolah sahaja yang menerima manfaat. Samaada ini bermaksud sekolah-sekolah lain tidak mempunyai murid-murid yang memerlukan? Projek Peranti sebelum ini telah gagal segala-galanya.

Saya nak tanya kepada Kerajaan, apakah kriteria kelayatakn untuk permohonan 600,000 peranti ini? Saya berharap Kerajaan dapat memberitahu kepada ahli-ahli Dewan semasa penggulungan nanti, apakah KPI iaitu dalam masa tempoh berapa lama kesemua peranti ini akan diedarkan ke tangan mereka yang memerlukan. Janganlah sekali lagi Kerajaan mengambil masa 12 bulan lagi untuk mengedarkan 600,000 peranti yang dijanjian di bawah Program PerantiSiswa!
———–
Perbahasan Belanjawan 2022 oleh YB Wong Kah Woh, Ahli Parlimen Ipoh Timor di Dewan Rakyat pada 09.11.2022.