Malaysia Dateline

RM300 sebulan selama setahun kepada keluarga, ibu tunggal di Selangor

Kerajaan Selangor akan memperuntukkan sejumlah RM3,600 setahun atau RM300 sebulan kepada keluarga termasuk ibu tunggal yang menerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 30,000 keluarga di Selangor akan menerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dengan peruntukan RM108 juta dan jangkaan 180,000 penerima manfaat.

Menurutnya, bantuan yang akan disalurkan itu antara inisiatif baharu yang dilaksanakan di bawah program BINGKAS.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti dari membeli barang keperluan rumah, membayar yuran dan juga pendidikan anak-anak serta menyara kehidupan rakyat.

“Pada tahun 2021, penerima bantuan KISS dan KISS-IT sedia ada adalah seramai 21,000 orang serta 9,000 orang tambahan penerima akan menikmati manfaat Program BINGKAS yang dijangka bermula pada Februari 2022,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Selangor 2022 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sementara itu, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sejumlah RM27.5 juta kepada 402,000 orang yang mendaftar sebagai ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Amirudin berkata, mereka yang mendaftar sebagai ahli skim SMUE akan mendapat manfaat baucer beli-belah RM100 pada bulan kelahiran dan juga khairat kematian bernilai RM500.