Malaysia Dateline

Belanjawan 2022: Tidak bersetuju beberapa perkara PH putuskan undi suara

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk meneruskan perbincangan dengan Kerajaan berhubung Belanjawan 2022 demi keadilan untuk rakyat.

Menurut PH belanjawan seharusnya mewakili dan menjaga semua rakyat Malaysia berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

PH menekankan keperluan untuk meningkatkan peruntukan bagi Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia yang berdepan dengan pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Pakatan Harapan telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak Kerajaan melalui Jawatankuasa Libat Urus Belanjawan 2022.

“Melalui sesi-sesi libat urus tersebut, wakil-wakil Pakatan Harapan telah menyampaikan pandangan dan pendirian Pakatan Harapan berhubung isu-isu dasar.

“Terdapat perkara-perkara yang dapat dipersetujui, namun terdapat juga perkara-perkara yang tidak dapat dipersetujui,” kata PH.

Dalam kenyataan bersama Majlis Presiden itu juga menjelaskan memandangkan mereka tidak bersetuju dalam beberap perkara maka Pakatan Harapan membuat keputusan untuk mengundi secara undi suara pada peringkat dasar Belanjawan 2022.

“Bagi proses kelulusan Belanjawan 2022 di peringkat jawatankuasa yang bermula Isnin, 22 November ini, Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan untuk meneliti, menyemak imbang serta memperjuangkan hak seluruh rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama, jantina mahupun wilayah.

“Walaupun ada tambahan peruntukan ia masih tidak mencukupi untuk memastikan Belanjawan yang adil untuk semua tidak kira kaum, agama, jantina mahupun wilayah,” katanya.

Walaupun Pakatan Harapan menghargai keperluan untuk mengawal defisit Belanjawan, terdapat keperluan untuk berbelanja dengan berani untuk mengatasi pandemik COVID-19 serta membantu rakyat dan perniagaan, terutamanya PMKS, supaya dapat terus hidup.

Bagi PH, peruntukan Belanjawan tambahan di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion secara berhemat tidak akan menjejaskan tahap hutang atau defisit dengan banyak tetapi mungkin kritikal dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.