Malaysia Dateline

Belanjawan 2023 : M40 tidak akan dipinggirkan – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa Belanjawan 2023 yang akan dibentang semula bulan depan akan memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat dan kumpulan masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kandungan Belanjawan 2023 masih diperincikan lagi namun, kerajaan di bawah pentadbirannya tidak akan meminggirkan mana-mana pihak.

“Belum siap lagi (Belanjawan 2023), inilah masalahnya. Sarawak minta (peruntukan), Sabah pun minta (peruntukan).

“Di bawah (pentadbiran) saya, (M40) tidak dipinggirkan. B40 penting, tapi M40 juga kita akan berikan perhatian,” katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan dua hari di sini, pada Rabu.

Hadir sama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Belanjawan 2023 akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada Jumaat 24 Feb, 2023.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata Belanjawan 2023 yang bakal dibentang semula tidak akan terikat dengan perkara yang dibentang oleh kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, cadangan yang dibuat dalam belanjawan terdahulu tetap diambil kira dalam perangkaan Belanjawan 2023 yang baharu.

— BERNAMA

Baca juga : Cubaan guru songlap duit BAP gagal, ibu jadi detektif tuntut hak anak