Malaysia Dateline

Belanjawan 2023 : Sektor perkhidmatan jadi tumpuan kerajaan

Kerajaan akan memberikan tumpuan terhadap sektor perkhidmatan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini, menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata antara sektor yang akan diberikan tumpuan adalah teknologi hijau, ekonomi digital dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya dasar kerajaan juga harus tertumpu untuk meningkatkan keupayaan sektor PKS berikutan ia mempunyai potensi tinggi dan melibatkan jumlah pekerja yang besar. 

“Jangan kita merasa kelesuan akibat ekonomi yang merudum. Kita kena mencari jalan dalam bidang-bidang baharu seperti ekonomi hijau dan digital.

“Pendekatan kita selama ini juga tidak tertumpu terhadap PKS yang menjadi tunggak kepada ekonomi negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di sini hari ini.

Anwar berkata beliau mengambil pendekatan yang realistik dalam Belanjawan 2023 dengan mengambil kira keadaan ekonomi serta pandangan politik. 

“Sekiranya ada keperluan untuk membuat perubahan, kita akan lakukan kerana mandat diberikan adalah mandat untuk melakukan perubahan,” katanya. 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah sebanyak RM1.5 trilion dan perlu ditangani segera. 

“Ekonomi masih dianggap malap. Ia juga berkait dengan perkembangan antarabangsa, baik soal konflik Rusia-Ukraine atau pasca COVID-19 yang belum menzahirkan kekuatan ekonomi,” katanya. 

Kementerian Kewangan pada 29 Dis mengesahkan bahawa kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2023 yang disemak semula di Dewan Rakyat pada 24 Feb 2023.

Semasa persidangan Dewan Rakyat pada 20 Disember, Dewan Rakyat meluluskan peruntukan khas perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107.72 bilion, antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

— BERNAMA

Baca juga : Jururawat diminta bayar RM80 untuk majlis makan malam dengan Pengarah Hospital?