Malaysia Dateline

Belanjawan 2023 tidak terikat dengan belanjawan terdahulu

Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan semula di Parlimen pada 24 Feb depan tidak akan terikat dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada Oktober 2022, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Bagaimanapun beliau berkata cadangan yang dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu akan diambil kira dalam perangkaan Belanjawan 2023 yang disemak semula itu. 

“Semua aspek tidak akan terikat dengan belanjawan yang terdahulu walaupun kita ambil kira cadangan yang dibuat dahulu.

‚ÄúTetapi ini belanjawan baharu sama sekali, terasnya, dasarnya dan pengubahsuaiannya walaupun angka-angka pendapatannya mungkin tidak boleh ubah banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023, di sini, hari ini.   

Anwar yang juga merupakan menteri kewangan berkata keutamaan Belanjawan 2023 akan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor berimpak tinggi seperti teknologi, pertanian dan tenaga boleh baharu serta mempunyai keupayaan eksport.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada Belanjawan 2023 yang disemak semula akan mengekalkan jumlah RM372.3 bilion yang diperuntukkan sebelum ini semasa pembentangan pada Oktober tahun lepas oleh menteri kewangan kerajaan terdahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Namun pada 10 Oktober 2022, Parlimen dibubarkan bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang diadakan pada 19 Nov, 2022.

Semasa sesi persidangan Parlimen yang berlangsung pada 20 Disember 2022, Dewan Rakyat meluluskan peruntukan khas perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107.72 bilion, antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Kewangan berkata Majlis Dialog Belanjawan 2023 itu dihadiri oleh pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, sektor swasta, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan serta pertubuhan masyarakat sivil. 

Peserta dialog telah mengutarakan pelbagai cadangan antara lainnya mengusulkan agar lebih banyak tumpuan diberikan kepada isu kesihatan mental dan keperluan orang kurang upaya serta memastikan kesaksamaan jantina dalam peluang pendidikan dan pekerjaan. 

Selain itu, terdapat juga cadangan untuk mengupayakan perusahaan kecil dan sederhana, merancakkan pertanian bandar sebagai penyumbang kepada sekuriti makanan dan memberi perhatian kepada kelestarian alam sekitar, memastikan inisiatif disediakan bagi melindungi kelangsungan hidup kumpulan rentan dan menambah baik proses pendigitalan dalam penyampaian kerajaan.

Untuk memastikan proses penyediaan belanjawan tahunan lebih telus dan inklusif yang mengalu-alukan penglibatan semua lapisan rakyat, Kementerian Kewangan juga telah melancarkan Portal Cadangan Belanjawan 2023, yang boleh dilayari di https://bit.ly/cadanganbelanjawan2023

— BERNAMA 

Baca juga : 444 aduan berkaitan media baharu diterima setakat ini