Malaysia Dateline

Belanjawan Alternatif Harapan Sarawak 2020 diserahkan kepada KM

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pro Keadilan Sarawak (Adil13)telah menyerahkan dokumen Belanjawan Alternatif Harapan Rakyat Sarawak 2020 kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dokumen tersebut diserahkan kepada Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Datuk Khir Busrah yang mewakili Datuk Patinggi Abang Johari di luar pintu pagar utama Pejabat Kerajaan Negeri Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya Kuching pagi ini.

Hadir menyerahkan dokumen itu ialah Lily Sebeli dan Azman Saleh serta seramai 30 ahli Pertubuhan Adil13.

Menurut Pengerusi Adil13 Iswardy Morni, pihaknya telah mengambil inisiatif mengumpul pendapat rakyat melalui media sosial sekali gus mampu menjadi aspirasi dan harapan rakyat Sarawak pada Belanjawan Sarawak nanti.

Justeru katanya, Adil13 mewujudkan belanjawan harapan rakyat yang berteraskan 13 perkara iaitu penekanan untuk penyelesaian kepada masalah utama berkaitan isu air, tanah dan perumahan rakyat.

“Belanjawan yang kami cadangkan ini adalah bajet defisit kerana memerlukan tiga ke lima tahun untuk memulihkan negeri ini.

“Dengan bantuan RM4.4 billion dari Kerajaan Persekutuan pada tahun ini dan tahun akan datang, kami nampak dengan ‘political will’ yang betul, usaha berkenaan mampu dilakukan, ” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun Belanjawan 2019 lalu diumumkan sebagai baget terbesar negeri, tetapi ia hanya gah dari segi nama dan bukannya pelaksanaan.

“Apa yang kita lihat ada di antara kampung seperti di Simunjan sudah hampur lapan bulan tiada bekalan air bersih.

“Di samping itu, pinjaman tanpa faedah bagi usahawan kecil dan mikro bagi memenuhi impian rakyat mahu melihat kerajaan lebih pro aktif dalam meningkatkan penglibatan dalam sukan bola sepak negerii.

“Kami juga mencadangkan digunakan 8 billion rizab tunai bagi menampung defisit dalam bajet kali ini,” tegas Iswardy.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan bermula pada 4 sehingga 13 November ini.