Belanjawan Alternatif selaras dengan tawaran Pemuda Pakatan Harapan

Belanjawan Alternatif selaras dengan tawaran Pemuda Pakatan Harapan

 

Ammar Atan

Bajet Alternatif berkaitan penyelesaian krisis perumahan mampu milik adalah selaras dengan tawaran Pemuda Pakatan Harapan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Ammar Atan berkata, belanjawan tersebut yang dibentangkan semalam bukti Pakatan Harapan komited menangani masalah yang dialami golongan muda.

“Krisis perumahan yang berlaku pada hari ini melibatkan kekuatan membeli rumah mampu milik selari dengan kekuatan pendapatan dan mekanisme menangani kenaikan harga rumah yang mendadak hari ini.

“Melalui belanjawan ini, Pakatan Harapan telah mencadangkan kesemua badan perumahan berkanun digabungkan menjadi satu badan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menyediakan perumahan berpatutan dan berkualiti,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bahkan, jelasnya, Pakatan Harapan akan melaksanakan sewa beli untuk perumahan mampu milik pada harga yang terkawal.

“Cadangan ini adalah selaras dengan Tawaran Pemuda Pakatan Harapan yang mahukan dasar perumahan negara dipandu oleh sebuah badan berkanun yang akan meregulasi kuantiti dan harga perumahan secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas kegagalan Umno-BN menepati janji menyediakan 1.5 juta unit rumah mampu milik menjelang 2018, Ammar menyifatkan hal tersebut sebagai amat memalukan dan membuktikan parti pemerintah itu tidak layak untuk terus berada di Putrajaya.

“Tahniah Pakatan Harapan kerana mampu merangkumi semua perkara dasar dan utama melalui sebuah belanjawan alternatif yang mengangkat kembali nilai integriti dalam mentadbir dan martabat rakyat melalui dasar-dasar sosial,” tambahnya lagi.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS